Followers

Anak muda, politik dan demokrasi

Wednesday, February 29, 2012

Laporan statistik dari Sarawak baru-baru ini mengenai kadar celik politik di kalangan belia memaparkan tahap yang amat rendah. Dalam bahasa lebih mudah, kadar buta politik belia Sarawak sangat tinggi. Dengan bahasa lebih senang lagi, budak-budak muda di Sarawak tidak peduli tentang politik.

Mungkin ada segelintir politikus khususnya di Sarawak akan tersenyum gembira mendengar berita ini. Faham-faham sahajalah.

Statistik dan hasil kajian yang dihadapkan kepada kita ini seperti sudah menjadi sarapan di waktu pagi. Ianya rutin dengan menu yang sama walau pun mood politik negara telah berubah menjadi semakin hangat dari biasa semenjak pasca 2008.

Laporan tersebut memetik satu hasil kajian (tinjauan) yang telah meletakkan punca masalah ini adalah dari sikap individualistik anak-anak muda.

Kajian ini harus juga ‘dikaji’ semula. Ini kerana kita tidak fikir pada mana-mana kajian sekali pun, hasilnya hanya ada satu punca masalah, apatah lagi tajuk kajiannya berkaitan ‘politik’.

Bukan niat untuk mempertikaikan mana-mana kajian yang dianggap tidak bersesuaian dengan kehendak kita. Namun, realiti harus menjadi asas kajian kerana ia tidak boleh wujud dalam satu ruang yang hampa.

Secara latar belakangnya, kajian seperti itu harus mengambil kira kesan politik Sarawak, khususnya pilihan raya negeri Sarawak pada April 2011 di mana pembangkang meraih lebih 45 peratus undi walau pun hanya menang 15 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri. Malah, walau pun 15 kerusi, ia adalah rekod terbaik dalam sejarah kerana mencatatkan kemenangan dua kali ganda bagi pembangkang.

Jika sistem pilihan raya Malaysia bernisbahkan jumlah undi, sudah pasti kerusi sebenar yang dimenangi pembangkang, khususnya Pakatan Rakyat, adalah sekurang-kurangnya 31 daripada 71 kerusi, iaitu 300,288 undi atau 45 peratus daripada keseluruhan undi.

Kajian mesti menyeluruh

Jadi kajian mestilah menyeluruh, segala aspek harus diteliti, semua faktor mestilah diuji, dan pastinya hasil kajian juga akan menyimpul banyak faktor, tidaklah hanya menyalahkan satu pihak sahaja. Kecualilah jika kajian ini memang hanya mahu mencari salah anak muda dalam aspek politik.

Kita tidak pasti bagaimana kajian ini dibuat, namun ia tetap memberi banyak implikasi. Tetapi jika kajian ini sekadar mahu mencipta berita dan propaganda, maka sampai ke tahap itu sajalah hasilnya. Ia dilihat tidak mampu dijadikan sandaran utama untuk kita mencari penyelesaian yang konkrit – kerana hasilnya tidak konkrit.

Hasil kajian ini juga seperti sudah menjadi satu budaya resmi apabila ia telah memberi justifikasi kepada daulah kuasa (institusi/politikus) untuk terus menyalahkan rakyat apabila berhadapan dengan perkara penting yang melibatkan isu hak dan kepentingan awam. Dalam kes ini, rakyat itu adalah golongan anak muda.

Golongan ini sudah selalu sangat menjadi kambing hitam dalam banyak kes. Kes moral, buang anak, mat rempit, agama, pendidikan, ekonomi, pekerjaan, termasuk isu daftar pengundi ini.

Ia (kajian) menjadi bahan untuk daulah kuasa melepaskan beban kesilapan mereka ke pundak kita, seolah-olah kita ini lembam.

Dalam satu keadaan yang lain, jika ada anak muda atau mana-mana pihak yang mencapai kejayaan dalam apa jua bidang, pandai pula daulah kuasa ini mengambil kesempatan mengakui kejayaan.

Contohnya ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengungkit kejayaan jutawan kaum Cina di Malaysia dengan dasar-dasar UMNO-BN (daulah kuasa) sewaktu ucaptamanya di seminar Malaysian Chinese at the Political Crossroads di ibu kota baru-baru ini.

Metodologi dan skop kajian

Seharusnya kajian ini perlu lebih komprehensif sifatnya, perlu dikaji apakah ada kesan dari demografi penduduk (anak muda) luar bandar dan bandar. Bukankah kita sedia maklum bahawa negeri Sarawak ini cabaran besarnya adalah bentuk muka bumi.

Kajian ini juga perlu melihat dalam aspek kemudahan alat komunikasi atau sumber informasi diluar bandar/dalam bandar. Bagaimana pula dengan tahap sosio-ekonomi anak muda (bandar/luar bandar). Adakah semua ini boleh mempengaruhi tahap celik politik mereka.

Kaedah kajian juga perlu lengkap, jangan hanya anak muda sahaja sebagai respondennya. Mereka yang mempengaruhi hidup anak muda juga perlu disoal.

Jika ia menyeluruh, pasti bukan hanya sikap individualistik anak muda sahaja yang menjadi faktor kepada masalah ini, malah kita mungkin akan berjumpa dengan sikap pihak lain termasuk politikus yang juga individualistik.

Kita akan dapat melihat di mana culasnya pembangunan negeri Sarawak, dimana kelemahan pentadbiran kerajaan dalam membuka peluang pekerjaan kepada anak muda tempatan. Semua inilah hasil kajian, lengkap dan reliable.

Statistik dalam statistik

Keadaan ini mengundang satu lagi persoalan lain, iaitu menurut laporan Indeks Kebebasan Akhbar 2011/2012 yang direkodkan oleh Reporters Without Borders, Malaysia menduduki tangga ke-122 dalam ranking tahap kebebasan akhbar di dunia.

Walau pun kedudukan ini sedikit lebih baik daripada ranking bolasepak Malaysia di tangga ke-150 FIFA, ia masih buruk dan memalukan bagi sebuah negara yang kononnya bangga dengan model ekonomi, agama dan kestabilan politiknya.

Dalam bahasa lain, laporan kebebasan media tersebut menunjukkan bahawa tahap kebebasan akhbar, maklumat dan suara awam di Malaysia sedang dikongkong oleh daulah kuasa. Dengan bahasa longkang, kita dikongkong untuk menerbit, menyebar serta menerima berita dan maklumat.

Alasan rasmi daulah untuk menyekat dan mengawalnya hanya kerana tidak mahu ada maklumat yang palsu atau fitnah diterbitkan. Bagi kita ia sangat tidak releven kerana tanpa melaui proses penerbitan dan pembacaan, mana kita tahu maklumat itu palsu?

Sekali pun ia palsu atau fitnah, bukankah kita ada pihak berkuasa yang boleh menyiasatnya, malah kita telah ada undang-undang untuk menghukum pembawa berita palsu. Jadi mengapa perlu dikongkong lagi?

Yang pasti, alasan rasmi itu sudah menjadi kebiasaan pemerintahan diktator untuk mengunci minda rakyat, khususnya anak muda. Tetapi adakah Malaysia negara diktator?

Proses pembelajaran anak muda

Anak muda perlu akses yang cukup untuk membangunkan potensi diri mereka. Jika maklumat disekat, maka anak muda tiada keinginan untuk tahu, baik atau buruk pun informasi itu, ia tetap akan mendorong untuk anak muda berfikir – rasional dan kritis.

Informasi itu penting, inilah gaya hidup zaman internet, wi-fi, gadget dengan peluang-peluang kerjaya. Tanpa pakej ini, anak muda tidak akan peduli pada apa pun termasuk politik.

Apabila tiada kerja, perut akan merasa lapar. Naluri seorang manusia, apabila perut lapar dan kehendak dibatasi oleh sesuatu, mereka hanya akan fokus dengan ‘hidup untuk cari makan’. Mereka tidak ada masa nak peduli tentang politik atau daftar undi.

Dan disinilah peranan daulah kuasa untuk membuka lebih besar ruang dan peluang untuk anak muda melalui proses pembangunan intelek dan sahsiah diri.

Tetapi, biasanya dengan cara ini jugalah daulah kuasa (politikus) mendorong anak muda dan rakyat Malaysia amnya, untuk hanyut dalam perlumbaan mengisi perut dan aksesori hidup agar hagemoni kuasa mereka terus kekal.

Mereka memang mahu kita terus begitu dari menyebok, aktif dan bertanya tentang urusan politik yang akan menyukarkan politikus itu sendiri

Istilah ‘individualistik’ yang dikaitkan sebagai punca utama masalah ini jelas sangat simplistik dan oportunis sekali sifatnya
Klik untuk berita penuh >>

Dialog satu suara

Tuesday, February 28, 2012

Manusia itu sedang berpusing-pusing, lagaknya seperti orang yang sedang kebingungan. Dari gayanya, mungkin dia sedang berfikir, langkahnya mundar-mandir, sekejap ke dinding sekejap dia berbaring di atas lantai aspal yang hitam keras itu.

Sesekali dia mengeluh, sebentar kemudian dia senyap kembali, hanya nafasnya kedengaran. Kemudian kepalanya mendongak ke langit gelap, diperhatikannya awan yang seakan tidak mahu membuka hijab langit untuk bintang memperaga sinarnya. Hati manusia terasa akan kiamat.

“Apa patut aku buat sekarang?” keluhnya dalam berbisik.

Dia terus mundar-mandir tak tentu hala. Rokok yang dihisap telah habis, dijentiknya puntung itu ke tepi jalan. Dan, langkahnya terhenti.

“Ada baiknya aku lakarkan saja lembaga ini, sekurang-kurangnya, jika ada yang bertanya kelak, mudah sahaja dirujuk sebagai panduan oleh spesis aku.” Tiba-tiba manusia mendapat ilham. Lalu ditulisnya prinsip-prinsip itu dengan tergopoh-gapah.

Tulisan pada dinding

Ilham yang muncul mesti segera dicatat sebelum terlupa. Manusia sedar bahawa dia sering terlupa, dan itulah kelemahannya walau pun dia selalu saja mengingatkan orang untuk tidak lupa.

Diconteng-contengnya tanah dengan pantas, setiap prinsip yang tertera itu siap, dibacanya kembali dan berulang kali. Setelah yakin betul dan sesuai, manusia terus menyambung prinsip-prinsip yang baru, tertonggeng-tonggeng punggungnya ketika menulis di lantai.

Tak cukup lantai, ditulisnya prinsip itu di dinding, tulisanya besar-besar agar siapa juga di kalangan spesisnya yang lalu-lalang dijalan itu, akan nampak dan  membaca semua catatan pentingnya itu.

Setelah siap, dia membaca kembali tinta yang ditulisnya itu. Kemudian dia tersenyum puas. Manusia melompat kegembiraan, suasana yang tadinya terasa suram dan malap, kini bertukar menjadi ceria.

Tiba-tiba mengaum satu suara.

Siapa itu?

Suara: Manusia! Apa yang engkau terkinja-kinja itu?

Berdengung sekali suara itu bagai langit runtuh, terpakulah kaki manusia seraya mendengar tempikkan itu. Manusia menjadi tidak karuan. Melingas-lingas matanya mencari jasad empunya suara itu, ditolehnya ke kiri dan ke kanan, tiada apa-apa.

Manusia: Siapa itu?

Jerit manusia kebimbangan, rasa takut menerpa ke kepalanya. Perutnya terasa senak, pundi kencingnya membengkak. Tangannya sejuk seperti direndam ke dalam air batu campur. Peluhnya mula merenik di dahi. Adrenalin dan garam dalam badan manusia membuak-buak naik ke dada.

Suara: Aku.

Manusia: Kau siapa? Di mana?

Lembaga: Aku di lantai dan di dinding.

Manusia: Siapa kau? Aku tak nampak kau di mana

Suara: Akulah yang kau tulis itu wahai manusia. Tidakkah kau nampak apa yang kau tulis itu tadi?

Manusia itu terperanjat, dadanya menjadi gugup, tekaknya terasa kering. Matanya memerhatikan tinta-tinta tulisannya dilantai dan di dinding dengan penuh kehairanan.

Manusia: Aku tak faham, kau ini siapa?

Suara: Akulah roh dari tulisan yang engkau catatkan itu. Butakah mata dan hati kau?

Manusia kehairanan, dia merasa begitu takjub kerana suara itu datang dari tulisan yang dicatatkannya itu. Manusia cuba mententeramkan hatinya. Setelah berasa yakin dia menghela nafas dalam-dalam.

Manusia: Roh dari tulisan aku? Aku tak faham, cuba kau terangkan.

Suara: Ya, akulah semangat yang lahir dari prinsip-prinsip yang engkau tulis di dinding dan di lantai itu.

Manusia: Aku hanya menulis prinsip-prinsip itu agar spesis aku dapat belajar dan memahami apa yang sepatutnya mereka perlu tahu dan faham. Aku tidak cipta kau wahai suara tak berupa.

Dari situlah aku lahir

Suara: Tahukah engkau, prinsip-prinsip yang engkau tulis itu punya semangat, semangat itulah aku, yang sedang berkata-kata ini. Bukankah sebentar tadi engkau memerah jiwa, akal dan mencari-cari ilham untuk menulisnya, dan ketika engkau menulis, engkau catat dengan penuh harapan dan semangat yang berkobar-kobar. Dari situlah aku lahir.

Terkejut besar manusia itu mendengar penjelasan suara tak berupa itu. Hati manusia kembali berdebar-debar. Bimbang jika dia tanpa sedar telah memuja-muja prinsip-prinsip yang diilhamkannya itu hingga seakan menjadi berhala hantu yang boleh berkata-kata. Boleh jadi syaitan telah meresap ke dalam tulisannya.

Manusia: Aku tak percaya, kau tipu. Jangan kau sengaja nak memesong dan menakutkan aku. Apa yang aku tulis itu adalah keyakinan aku dari pengetahuan aku, itu saja. Aku tak cipta semangat hantu macam kau ni.

Suara: Kau tak percaya aku? Bermakna kau tidak percaya dengan prinsip-prinsip yang telah engkau catatkan itu wahai manusia.

Manusia: Jangan kau berselindung di balik prinsip-prinsip ku itu, beritahu aku siapa kau sebenarnya dan apa tujuan kau muncul.

Keras sekali suara manusia menjawabnya, dia seolah-olah mendapat semangat baru untuk berdepan dengan situasi yang tidak dijangkakannya ini.

Suara: Aku tidak menipu kau wahai manusia, akulah semangat yang lahir dari cita-cita mu, yang engkau catatkan itu.

Manusia: Maksud kau?

Suara: Bukankah semua prinsip-prinsip yang engkau catatkan itu ditulis oleh tangan mu dengan iringan semangat yang tinggi, kau mahu prinsip-prinsip itu disampaikan dan difahami oleh kaum spesis mu, bukankah begitu?

Manusia: Ya, benar. Jadi?

Suara: Maka, akulah semangat yang akan meresapi hati dan akal spesis mu. Ayat-ayat yang kau tulis itu akan kosong tak bermakna tanpa aku sebagai semangat atau rohnya. Dengan mengenal semangat inilah engkau akan yakin dan melaksanakan segala prinsip yang engkau tulis itu. Malah, tanpa aku (semangat), kamu semua tidak akan menghormati dengan apa yang kamu semua catatkan itu. Akulah yang engkau cipta sebagai perlembagaan.

Manusia: Apa maksud kau wahai suara yang tak berupa dan berwarna?

Cita-cita dan prinsip

Suara: Ketahuilah wahai manusia, prinsip yang engkau tulis itu adalah cita-cita murni kamu, cita-cita itu harus engkau hormati jika engkau mahu melihat semua prinsip itu terlaksana menjadi kenyataan. Jadi, aku ini adalah roh semangat yang besuara dari cita-cita mu itu, tujuanku agar engkau sedar bahawa aku ini wujud dan engkau benar-benar yakin, memahami dan menghormati apa yang engkau tuliskan itu.

Manusia: Maksud engkau apa-apa prinsip yang telah aku catatkan itu punya semangat yang harus dihormati oleh spesis aku, begitu?

Suara: Tepat sekali wahai manusia, walau pun engkau hanya mengulangi jawapan aku. Engkau memang selayaknya dipilih sebagai spesis yang paling bijak didunia.

Manusia: Nanti-nanti, aku belum cukup faham dan yakin lagi. Bagaimana pula jika aku dan sepsis aku tidak menghormati kau wahai semangat perlembagaan?

Kau harus memilih

Suara: Jika itu yang engkau pilih, maka sia-sialah prinsip-prinsip perlembagaan yang engkau catatkan itu. Bukan sahaja isinya tidak akan terlaksana, malah engkau akan menjadi spesis yang paling korup dan hipokrit di dunia ini. Kini engkau harus memilih, sama ada mahu yakin dengan kewujudan aku atau engkau mahu sia-siakan semua prinsip-prinsip perlembagaan yang telah engkau tuliskan itu. Pilihan di atas kamu wahai manusia berakal.

Manusia itu terduduk dan termenung mendengar penjelasan suara tak berupa itu. Lama dia mundar-mandir berfikir, hati manusia bercampur-baur.

Manusia: Jika begitu, bagaimana semua prinsip-prinsip perlembagaan yang telah aku catatkan itu boleh difahami, dihormati dan dilaksanakan oleh kaum spesis ku?

Suara: Bukankah semua prinsip itu telah engkau catatkan dilantai tempat engkau berdiri dan di dinding tempat engkau memandang?

Manusia: Ya benar, jadi?

Suara: Nah, itulah tempat paling sesuai dan mudah untuk spesis manusia membaca dan mempelajarinya. Tetapi aku, engkau perlu beritahu kepada semua spesis mu agar menyedari kewujudan aku. Katakan aku ini wujud dan terhijab di sebalik semua prinsip-prinsip yang ada dilantai tempat mereka berdiri dan di depan tempat mata dan muka mereka memandang. Itu akan menghadirkan rasa kesedaran buat semua spesis kamu.

Manusia: Kemudian barulah mereka akan menghormati semua prinsip ini, begitu?

Suara: Ya, benar sekali wahai manusia. Tidak sia-sia aku muncul di hadapan mu, engkau memang pandai.

Manusia: Lantaran itu, bagaimana semua ini dapat dilaksanakan?

Suara itu lenyap. Tiada jawapan. Dinding kembali kosong. Tiada tulisan. Lantai aspal hitam itu masih keras. Manusia menitiskan air mata. Di mana jawapannya? Di mana jalan keluarnya? – Asi Dani
Klik untuk berita penuh >>

Melayu mampu berdaya saing tanpa UMNO

Monday, February 27, 2012

Berita tentang kepincangan dan keburukan pemerintahan UMNO-BN telah lama dan luas tersebar dalam alam internet, ceramah dan apa-apa ruang yang gagal disekat oleh pemerintah yang bencikan kebebasan maklumat. Malah, tidak silap jika dikatakan rata-rata mereka yang sering membaca berita melalui laman internet sudah sedia maklum tentang budaya rasuah dan salah guna kuasa UMNO-BN.

Namun kebanyakan orang, terutama yang daripada kaum Melayu, bila ditanya kenapa masih memilih UMNO-BN sebagai wadah pemerintahan mereka, mereka mengeluh kerana tiada pilihan mantap disajikan. Pakatan Rakyat? Hanya nada sinis menjadi jawapan mereka.

Sebagai majoriti penduduk Malaysia, kaum Melayulah penentu masa depan negara ini. Laungan Pakatan “Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia” tidak akan menjadi realiti selagi kesemua 60 peratus pengundi Melayu masih memangkah dacing pada pilihan raya umum yang akan datang. Hakikatnya lebih daripada 50 peratus kerusi parlimen Malaysia bermajoritikan pengundi Melayu.

Selagi orang Melayu masih sangsi dengan pilihan alternatif yang ada, maka UMNO-BN akan terus bermaharajalela atas ehsan sokongan pengundi majoriti negara tersayang kita ini. Selagi itu juga penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah berleluasa. Kesannya, rakyat menderita teruk.

Di kala berita tentang hakisan sokongan pelbagai kaum lain terhadap BN kian tersebar, satu-satunya tonggak sokongan yang tinggal untuk UMNO ialah pengundi Melayu, terutama mereka yang berada di kawasan luar bandar. Maka tidak hairanlah apa yang difikirkan orang Melayu sebagai sensitif perihalnya (Islam, Melayu, Raja atau 3R – religion, race, royalty) menjadi mainan pimpinan UMNO walau pun kebanyakannya hanya emosi kosong tanpa fakta.

Tongkat DEB

Antara kebimbangan utama orang Melayu ialah takut kehilangan payung naungan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Seakan tanpa DEB, Melayu akan melarat di bumi sendiri. Apakah ini benar?

Matlamat asal DEB adalah untuk mengagih khazanah kekayaan negara dengan lebih seimbang antara kaum. Apakah golongan terbanyak, iaitu para pekerja dan peniaga kecil sudah berkongsi manfaat agihan khazanah ini?

Rekod UMNO dalam mengagih khazanah negara amatlah tidak memuaskan. Walau pun pada mulanya ia memberi manfaat, lama-kelamaan ia menjadi senjata UMNO untuk mengikat orang Melayu. Menurut kajian penyelidik Jayanath Apadurai, 43.2 peratus daripada isi rumah kaum Bumiputera mendapat pendapatan di bawah RM2,000 sebulan, yakni pendapatan garis kemiskinan.

Berbanding dengan kaum Cina (21.2 peratus) dan India (31.8 peratus) yang tidak mendapat apa-apa manfaat DEB, ini satu fakta yang memalukan untuk UMNO yang hanya dilihat mengkayakan kroni-kroni mereka yang sudah pun kaya-raya.

Hakikatnya tanpa merujuk kepada apa-apa statistik pun, kebanyakan orang Melayu sedar tentang ramainya penduduk Melayu tergolong dalam kategori miskin tegar.

Kebijakan Pakatan Rakyat

Pemimpin Pakatan Rakyat sedar tentang fakta ini. Contohnya, sebaik sahaja mengambil alih pemerintahan kerajaan Pulau Pinang, PR terus turun padang untuk membantu golongan miskin. Usaha untuk mengenal pasti dan mendaftar mereka yang layak untuk elaun kebajikan masyarakat dipertingkatkan.

Dalam tahun 2008, terdapat 7,462 orang yang berdaftar sebagai penerima elaun kebajikan. Untuk tahun 2010 sahaja terdapat angka ini melonjak kepada 24,529. Jelas masih ramai orang yang miskin diMalaysia.

Kerajaan PR Pulau Pinang juga telah melancarkan program Rakan Anti Kemiskinan (RAK) untuk mereka yang tergolong dalam kategori miskin tegar. Setakat Julai 2011 ,seramai 741 orang telah layak mendapat bantuan kewangan sejumlah RM 18,8000 sebulan.

Tidak pula PR memilih bulu dalam menghulurkan pertolongan asasi ini. Sejumlah 87 peratus daripada penerima RAK adalah penduduk Melayu manakala 41 peratus daripada penerima RAK menetap di kawasan parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor, masing-masing yang disandang oleh bekas perdana menteri dan menteri kerajaan pusat.

Kerisauan kaum Melayu tentang kekurangan upaya mereka dalam bersaing dengan kaum lain sudah pun dibukti salah di Pulau Pinang. Semenjak sistem tender terbuka diamalkan di Pulau Pinang, dari Mac 2008 hingga 2010, sebanyak 70 peratus daripada jumlah kontrak dan 57 peratus daripada nilai kontrak projek kerajaan negeri dimenangi kontraktor Melayu. Ini menunjukkan yang orang Melayu mampu bersaing tanpa tongkat DEB.

Perhidmatan awam bukan milik UMNO

Untuk memastikan sokongan orang Melayu, ramai daripada jawatan awam diperuntukkan untuk mereka. Bagi ramai graduan lepasan IPT Melayu, jawatan awam adalah suatu yang diidamkan kerana pendapatan yang stabil serta faedah sampingan dan saraan yang lumayan.

Namun dasar ini tidak mungkin berkekalan selamanya. Nisbah jumlah penjawat awam kepada jumlah penduduk Malaysia adalah yang tertinggi di rantau Asia-Pasifik; Malaysia mempunyai 4.68 peratus berbanding Thailand (2.06 peratus), Korea Selatan (1.85 peratus) dan Indonesia (1.79 peratus).

Singkatnya, lebih ramai penjawat, lebih besar belanjanya. Lebih besar belanjanya, semakin kurang peruntukan untuk pembangunan rakyat berpendapatan rendah. Semakin ramai rakyat berpendapatan rendah tidak dibantu, ia menimbulkan maslaah ekonomi dan sosial yang melibatkan semua golongan rakyat.

Kos gaji dan pencen penjawat awam merangkumi 37.7 peratus (2010) daripada perbelanjaan mengurus tahunan kerajaan pusat yaitu RM 57.43 billion. Ini adalah perbelanjaan tetap; kerajaan tidak boleh mengurangkan perbelanjaan ini tanpa mengurangkan jumlah penjawat awam atau persara pencen.

Sejak krisi hutang negeri Greece tercetus, sektor awamnya dikurangkan dengan drastiknya. Ekoran perjanjian kerajaan Greece dengan Kesatuan Eropah untuk mendapat pinjaman bon demi menampung hidup kerajaan tersebut, perbelanjaan awam dipotong secara mendadak. Pada 18 Februari kerajaan Greece telah terpaksa bersetuju untuk mengurangkan bilangan penjawat awamnya seramai 150,000 orang.

Namun buat masa ini kita tidak perlu mengurangkan saiz perkhidmatan awam. Apa yang lebih penting ialah memastikan semua pegawai dan kakitangan awam benar-benar profesional dan melaksanakan amanah yang telah diberikan kepada mereka oleh rakyat. Tentunya pegawai dan kakitangan awam tidak mahu nama mereka diburukkan oleh skandal dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh para pemimpin politik.

Memberdayakan rakyat

Setakat ini tidak ada tanda-tanda UMNO-BN mahu mengubah diri serta mereformasikan sistem yang lemah lagi melemahkan. Jika rakyat khususnya orang Melayu mahukan perubahan, maka alternatifnya adalah Pakatan Rakyat.

Apakah rancangan Pakatan dalam menyelesai krisis ini? Buktinya telah ada. Semenjak mengambil alih kerajaan Selangor dan Pulau Pinang, ramai belia digalakkan belajar kursus kemahiran industri yang ditampung oleh kerajaan negeri dan menceburi bidang perniagaan secara terus.

Di Selangor, melalui Tabung Anak Pekerja Peladang, belia dari kumpulan miskin dibiayai kursus pembelajaran dan sara hidup sepanjang pembelajaran kemahiran teknikal di kolej INPENS Selangor.

Pengusaha negeri Selangor juga diperuntukkan pinjaman mikrokredit melalui MiMBAR dan SKIMSEL yang telah dimanfaatkan oleh lebih daripada 1500 orang setakat September 2011.

Di Pulau Pinang mereka yang dibantu melalui RAK digalakkan belajar buat kraftangan untuk menampung kehidupan. Sejak kempen “Tanpa Beg Plastik Percuma Setiap Hari” kerajaan PP telah mengedarkan beg buatan diperbuat daripada banting terpakai oleh penerima bantuan RAK.

Walau pun usaha ini nampaknya kecil, hendaklah diingatkan yang kerajaan negeri PR mempunyai dana yang terhad untuk membuat program yang lebih substantif. Belanjawan Selangor untuk 2012 berjumlah sekitar RM 1.5 billion, iaitu kira-kira 1 peratus daripada jumlah belanjawan kerajaan persekutuan.

Untuk mengupah kakitangan kerajaan negeri, banyak prosedur penjawatan perlu dilalui yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, sebuah agensi kerajaan pusat.

Pakatan telah meletakkan matlamat untuk mengupayakan rakyat dengan menaikkan mutu pendidikan tinggi, meningkatkan produktiviti melalui latihan berterusan (yakni latihan teknikal, vokasional dan industri) dan menggalakkan warga negara yang professional dan berkemahiran yang bermastautin di luar negara kembali ke tanah air dengan menyediakan suasana kerja yang professional dan menarik.

Sebagai tonggak dan penentu hala tuju politik tanahair, orang Melayu sebagai kaum majoriti memikul tanggungjawab yang besar dalam menentukan masa depan negara kita yang dikongsi bersama ini.
Klik untuk berita penuh >>

Baca, faham dan nilai. Jangan jadi bebal

Thursday, February 23, 2012

Adakah Presiden MCA Chua Soi Lek berani mendedahkan sepenuhnya teks ucapan perbahasannya dengan saya pada 18 Februari 2012 dalam Bahasa Malaysia agar rakyat Malaysia dapat baca samada MCA bersikap perkauman serta melancarkan serangan peribadi bukan sahaja terhadap saya dan mantan Presiden MCA Ong Tee Keat?

Hari ini, saya telah mengumumkan teks ucapan dan transkrip perbahasan saya dengan Chua yang bertajuk, "Adakah Sistem Dua Parti Akan Menjadi Sistem Dua Kaum?".  Ini adalah untuk menjawab usaha media massa yang dikuasai BN, yang putar belit ucapan saya dengan fitnah.  Pada 21 Februari 2012 suratkhabar milikan MCA, The Star telah meminta maaf kerana fitnah dalam artikel Baradan Kuppusamy di bawah tajuk "All hype but no climax?" yang cuba mengindahkan Chua.

Teks ucapan ini adalah penting untuk menangkis tuduhan puak rasis dan ekstremis yang cuba menggambarkan parti berbilang kaum seperti DAP sebagai parti perkauman sedangkan sebenarnya parti MCA adalah parti perkauman sama seperti UMNO dan MIC.  Teks ucapan penuh adalah seperti berikut:-

Pendahuluan, Lim Guan Eng:

Pertama sekali saya ingin mengucap terima kasih kepada penganjur kerana menyiarkan secara langsung debat televisyen ini.  Debat televisyen mencipta satu bab yang baru dalam politik demokrasi Malaysia kerana ia merupakan satu sifat penting dalam kemajuan demokrasi.  Saya berharap mulai hari ini, debat televisyen akan menjadi satu fenomena umum yang lumrah dalam sistem demokrasi Malaysia seperti di Eropah dan Amerika Syarikat.

Oleh itu saya berpendapat bahawa, apa yang warga Malaysia benar-benar ingin saksikan, adalah debat antara Perdana Menteri Najib dengan Anwar, untuk melihat siapa yang sebenarnya lebih layak menjadi Perdana Menteri.  Siapa tidak berani berdebat, jangan harap nak jadi Perdana Menteri!

Chua ada menimbulkan dakwaan bahawa DAP diperalatkan oleh PAS, tetapi jikalau tuan-tuan dan puan-puan perhatikan, di kalangan orang Melayu, UMNO mengatakan bahawa PAS diperalatkan oleh DAP.  Oleh itu, hujah yang bercanggah sesama sendiri ini saya percaya merupakan taktik kotor BN.  Saya ingin tekankan di sini, parti komponen dalam Pakatan Rakyat, biarpun PAS, PKR atau DAP, kami tidak memperalatkan sesama sendiri, kami hanya bersiap sedia untuk "diperalatkan" oleh rakyat!  Pada masa yang sama, kami bukan anti-Melayu, ataupun anti-bukan Melayu, kami cuma anti-kerajaan yang bergelumang dengan rasuah!

Tema hari ini "Adakah Sistem Dua Parti akan menjadi Sistem Dua Kaum", sebenarnya saya berasa pelik.  Kerana, sekarang sudah wujud Sistem Dua Kaum, kami nak menjadikannya Sistem Dua Parti.  Sistem Dua Kaum ini sememangnya ideologi BN selama ini, sejak kemerdekaan sehingga kini, BN telah membezakan rakyat sebagai Melayu dan Bukan Melayu, ini adalah taktik pecah dan perintah.  Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pernah berkata, saya utamakan Melayu dahulu, barulah rakyat Malaysia.  Adakah ini Satu Malaysia?  Ataupun ini Tipu Malaysia?  Inilah Sistem Dua Kaum!

Sebaliknya, Sistem Dua Parti itu berasaskan ideologi, idealisma dan prinsip, tanpa membezakan kaum kerana kita semua adalah rakyat Malaysia.

Dalam BN, UMNO hanya menjaga orang Melayu, MCA hanya menjaga orang Cina, MIC hanya menjaga orang India, Gerakan itu… tak tahulah dia menjaga siapa.. Itulah BN yang "kamu jaga kaum kamu, saya jaga kaum saya", ini adalah sistem Dua Kaum!

Sebaliknya, di dalam Sistem Dua Parti, kita semua sanak saudara perjuangan, kita menjaga kebaikan antara satu sama lain; setiap warga Malaysia adalah seperti ahli sekeluarga!

UMNO selalu melaung-laungkan "Ketuanan Melayu".  Adakah MCA tidak terlihat, tidak terdengar dan tidak terasa, sebab itulah tidak berani untuk menghalangnya?  Justeru itu, kita masih mendengar bahawa orang Cina adalah pendatang, tidak berhak menuntut hak yang saksama di Malaysia.

PR berlainan dengan BN.  Apa yang kita mahu bukan "Ketuanan Melayu", apa yang kita mahu ialah "Ketuanan Rakyat"!  Anwar bukan sahaja bercakap tentang "Ketuanan Rakyat" di depan orang bukan Melayu, tetapi dengan orang Melayu juga beliau cakap yang sama.  Saya tidak pasti sama ada pemimpin UMNO berani berhenti melaungkan "Ketuanan Melayu" tetapi menyokong "Ketuanan Rakyat".

Apabila rakyat ataupun pemimpin PR membongkar penyalahgunaan kuasa atau rasuah dan menyoalkan integriti Polis atau Suruhanjaya Pencegah Rasuah, kami dituduh mencabar institusi Melayu - ini adalah sistem Dua Kaum!  Rasuah itu tidak mengenali perbezaan warna kulit.  Allahyarham Ahmad Sarbaini, pegawai kastam yang terkorban, bukankan beliau seorang manusia?

Pakatan Rakyat mahu hapuskan rasuah, BN mahukan rasuah!  PR akan memastikan pemimpin yang jujur dan kerajaan yang bersih, termasuk mengisytiharkan aset, tender terbuka, ini barulah sistem dua parti!  Yang paling penting sekali, menangkap pegawai yang benar-benar rasuah, bukan memfitnah Teoh Beng Hock yang tidak bersalah.

Pihak lawan saya selalu berkata, "Kaum lain menjadi kerajaan, Kaum Cina menjadi pembangkang".  Ini salah sama sekali.  Sebenarnya, "BN MCA menjadi pembangkang, PR DAP menjadi kerajaan" barulah yang resahkan MCA.  Bukan sahaja orang Cina yang menyokong PR untuk berubah, orang Melayu pun sama, jika kami tidak dapat sokongan 40% orang Melayu, tsunami politik tidak mungkin akan berlaku.  Saya percaya, saya pun tidak akan berpeluang berdiri di sini sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.  Chua pun mungkin tidak berpeluang menjadi Presiden MCA.

Dalam sistem yang demokratik, sistem Dua Parti perlu peralihan parti pemerintah secara alternatif. Biar BN tumbang jadi pembangkang, biar PR bangkit jadi kerajaan! Jikalau PR tidak memerintah dengan baik, rakyat berhak bertukar lagi selepas lima tahun.  Ini barulah sistem Dua Parti, peralihan parti pemerintah secara alternatif, barulah rakyat akan ada kehidupan yang baik.

Soalan daripada moderator:

Moderator (Tang Ah Chai): Masyarakat Cina sudah mulai mengalu-alukan sistem dua parti sejak tahun 1980.  Jikalau kita menggunakan keputusan 2008 sebagai satu rujukan, undi yang diberi kepada BN dan PR adalah lebih kurang separuh masing-masing.  Ini menunjukkan separuh rakyat berpuas hati dengan pemerintahan BN, separuh rakyat mempunyai harapan kepada PR.  Adakah ini bermaksud sekarang kedua-dua pihak telah mencapai tahap perjuangan dua parti?  Macam manakah parti anda memenangi undi yang separuh lagi?

Jawapan daripada LGE: 

Kalau PR berpeluang menjadi kerajaan, dasar kami adalah untuk memberi manfaat kepada rakyat.  Sekarang semua harga barang naik, duit tak cukup menampung hidup rakyat, kami hendak meringankan beban rakyat.  Kalau jadi kerajaan, kami akan memansuhkan toll Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang.  Kami juga akan meningkatkan royalti minyak daripada 5% kepada 20% bagi Sabah dan Sarawak.  Lagi, warga emas.  Saya tahu, sejak Pulau Pinang memberi warga emas RM100 setiap tahun, BN ciplak, bukan sahaja BN yang ciplak, MCA pun meniru.  Jadi, selain daripada berterima kasih kepada Chua, mereka (ahli MCA) harus berterima kasih kepada kerajaan Pulau Pinang jugalah.  Jika kami boleh mengambil kuasa di peringkat pusat, kami ingin maklumkan warga emas seramai 2.1 juta di seluruh negara bahawa kami janji akan memberi RM1,000 setiap tahun.  Ini adalah kebaikan peralihan kerajaan secara alternatif.  Kebaikannya adalah bahawa parti dinilai berdasarkan dasar atau polisi mereka, kami hendak jadi "negeri polisi" dan bukan negeri polis. Sekian.

Jawapan bagi Sesi Soaljawab:

LGE: Tadi itu EXCO Perak Mah Hang Soon, kan?  Saya rasa kita semua tahu waktu PR menjadi kerajaan di Perak, PR lah yang mulakan inisiatif memberi tanah kepada sekolah, dan juga memberi pajakan tanah kekal kepada penduduk kampung baru dan penduduk miskin.  Tetapi sejak BN menjadi kerajaan, ini sudah dimansuhkan.  Sebab itu, saya berasa anda tidak layak untuk mempersoalkan sesiapa.

Tentang soalan bahawa kerajaan Pulau Pinang memberi janji kosong, saya nak menekankan bahawa kami sudah menunaikan semua janji pilihan raya.  Tentang kenapa tol Sungai Nyior tidak dimansuhkan, para hadirin harus ingat bahawa itu di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.  Kami belum mengambil kuasa kerajaan pusat, jadi sabarlah… Bila kami mengambil kuasa kerajaan pusat, sudah tentu kami akan memansuhkannya, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang.  Tetapi, walaupun belum dimansuh, kami sudah membina satu jalan untuk memintas tol Sungai Nyior itu, jadi samalah, tidak perlu membayar tol tak munasabah ini.

Kejayaan Pulau Pinang, saya percaya ia boleh dibuktikan.  Selepas Mac 2008, semua orang boleh lihat, sentuh dan rasa perubahan yang berlaku.  Di Semenanjung Malaysia, papan tanda dwibahasa dengan Bahasa Cina yang pertama didirikan.  Papan tanda berbahasa Tamil yang pertama di Malaysia juga terletak di Pulau Pinang. Pulau Pinang pertama kali mendirikan papan tanda berbahasa Arab, juga kerana kejayaan kerajaan PR.  Kejayaan Pulau Pinang dalam membanteras rasuah pun yang paling terserlah, sehingga kami dapat pujian Transparency International.  Kalau ada orang yang bersalah, kami tidak akan melepaskannya sebegitu sahaja, tetapi Pulau Pinang yang mempunyai rasuah sifar adalah satu hakikat yang diakui oleh organisasi dunia.  Kami tidak makan duit itu memang tidak makan duit.  Terima kasih.

Soaljawab sesama lain:

CSL: Kita dengar polisi yang populis, beri RM100, mansuh ini mansuh itu, adakan anda boleh memberitahu atas persada ini apakah model pembangunan masyarakat dan ekonomi Pakatan Rakyat supaya Malaysia boleh keluar daripada situasi berpendapatan rendah dan mencapai pendapatan tinggi, termasuk menunaikan janji-janji dalam Buku Jingga?

LGE: Saya rasa ini perbezaan antara saya dengan Presiden Chua.  Beliau tidak risau kepada isu rasuah, saya pula risau sangat tentang isu rasuah.  Kita perlu ada satu kerangka untuk mengurus hal ehwal negara.  Apakah rancangan untuk membawa pembangunan ekonomi?  Saya ingin mengambil model Pulau Pinang sebagai contoh. Ini semua adalah hasil daripada amalan sistem pemerintahan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang mempraktikkan sistem "wang gandakan wang".  Sistem ini menekankan empat aspek utama iaitu yang pertama, wang kumpulkan wang melalui inisiatif kerjasama antara pihak awam dan swasta dalam menjalankan projek pembangunan.  Kedua ialah wang untungkan wang.  Melalui amalan sistem tender terbuka, Kerajaan Negeri berjaya mengurangkan kos pembiayaan.  Ketiga ialah wang hasilkan wang menerusi pendekatan kreatif dan inovatif.  Dan yang terakhir ialah wang jimatkan wang.  Sekiranya kita tidak makan wang, sudah tentu wang akan sentiasa ada.

Oleh itu, dalam empat tahun berturut-turut ini, Kerajaan Pulau Pinang mendapat keuntungan tiap-tiap tahun dan mampu beri balik duit kepada rakyat melalui Program Warga Emas RM100 setiap tahun, pewaris kepada warga emas yang meninggal dunia akan menerima RM1000 sekali sahaja, malah lahir bayi pun dapat RM200 di bawah Program Anak Emas.  Semasa Barisan Nasional memerintah Pulau Pinang, satu sen pun tidak beri, tetapi dengan prinsip "wang gandakan wang" ini, kami memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang, dan ini sebenarnya dividen anti-rasuah!

Di samping itu, di Malaysia, saya percaya jika kita boleh membanteras rasuah, dan bukan makin banteras makin rasuah, kita boleh menjimatkan banyak wang dan memberi balik kepada rakyat jelata.  Inilah janji kami, Pulau Pinang adalah bukti yang terbaik!  Jikalau kita berani membanteras rasuah, kita tentu akan perolehi wang.  Terima kasih.

Jawapan bagi Sesi Soaljawab & Penutup, LGE:

Pertama sekali saya ingin membalas sesetengah tuduhan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak memberi tanah kepada sekolah Cina, saya rasa ini bukan sahaja hendak menipu diri sendiri tetapi juga hendak menipu orang lain. Ini kerana kami mempunyai bukti, sekolah pun boleh mengesahkan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat telah memberi tanah.  Jangan lupa, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sekarang memberi peruntukan yang diinstitusikan kepada semua aliran sekolah, selain daripada sekolah Cina, ada lagi sekolah Tamil, sekolah agama rakyat dan sekolah swasta Cina. Dulu tidak ada langsung, kini tiap-tiap tahun dapat peruntukan.

Di sini, saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia, beranilah untuk berubah, kita tidak harus serah diri kepada nasib.  Kita berhak menikmati peluang yang saksama.  Kita tidak harus melutut untuk minta, kita harus bangkit dengan berani dan bermaruah untuk berubah!  Kita tidak mahu ditipu lagi, berubah sekarang juga!  Tengok, presiden MCA juga sudah berubah, pertama kali berdebat dengan Roket.  Tetapi berdebat itu tidak penting, yang penting itu, beranikah MCA cakap "Tak Nak" kepada UMNO?

Kenapa harus cakap "Tak Nak" kepada UMNO?  Kerana UMNO menggunakan sentimen perkauman dan agama, termasuk menyokong PERKASA untuk menghasut dan memecah-belahkan rakyat!  Kedua, UMNO menyalahgunakan undang-undang yang menyalahi hak asasi manusia.  UMNO rasuah, isu Kak Shahrizat dengan Lembu itu hanya "tip of the iceberg".  Yang lagi serius itu, dalam 10 tahun yang lalu, sejumlah RM1 trillion wang haram (rasuah) telah dibawa keluar dari negara ini secara curi-curi.  Yang ini (RM1 trillion) macam mana kira?

Seperti apa yang diakui oleh mantan presiden MCA Ong Tee Keat tentang MCA bekerjasama dengan UMNO, dulu MCA sekurang-kurangnya boleh makan semeja saki baki hidangan UMNO.  Sekarang paling baik pun dapat cebis dan sisa roti sahaja.

Ramai Melayu tidak dapat menikmati pembangunan negara, tidak ada RM250 juta untuk menternak lembu, kerana terlalu banyak "buah-buah yang baik dimakan oleh kroni BN", rakyat hanya boleh tertunggu-tunggu, makan sisa buah!

Masalah yang dihadapi masyarakat Cina, saya percaya para hadirin pun tahu, berlonggok-longgok, kita semua tahu apa masalahnya.  Selain daripada masalah sijil sekolah swasta (UEC) tidak diakui, sekolah Cina tidak mendapat peruntukan yang mencukupi, guru-guru yang tidak arif berbahasa Cina dihantar ke sekolah Cina, ada juga masalah guru sandaran yang belum diselesaikan.  Oleh itu kesemua isu peluang yang tak saksama dalam ekonomi dan pekerjaan ini, saya percaya bukan sahaja orang Cina tetapi kaum lain juga menghadapinya.  Oleh sebab itu kita harus mengambil peluang ini untuk berusaha dengan kaum lain untuk membawa perubahan.

Apa yang kita menitikberat sekarang adalah masa hadapan anak-anak kita.  Masa depan generasi saya sudah dirompak BN selama 50 tahun ini, jangan biar masa depan anak-anak kita dirompak juga.  Oleh itu, kita sedang menunggu peluang untuk berubah.

Pagi ini sebelum saya datang, saya beritahu anak perempuan saya, kalau ada peluang, saya hendak menjadi suara generasi muda kamu.  Saya harap kita ada polisi yang terbuka untuk membolehkan kamu tinggal di sini, jangan berhijrah keluar lagi. Kita hendak menitikberatkan bakat.  Ingat, hanya dengan menitikberat, menghargai dan memilih bakat, barulah masa depan Malaysia akan cerah dan makmur.

Kita lihat Korea Selatan, pada tahun 1970, pendapatan purata mereka hanya USD260 seorang, pada tahun 1970 Malaysia lebih baik, ada USD380.  Tetapi sekarang Korea Selatan sudah melangkaui Malaysia, sekarang Malaysia mempunyai pendapatan purata USD7760, manakala Korea Selatan sudah mengecapi USD20,000!

Kenapa Korea Selatan boleh menjadi negara berpendapatan tinggi, tetapi Malaysia masih terkandas?  Faktor terutama ialah Korea Selatan adalah negara demokrasi, ada sistem Dua Parti, ada peralihan parti pemerintah secara alternatif.  Oleh itu, sekiranya kita mahu berubah, kita mahu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, kita perlu ada keberanian untuk bangkit dan berubah, ada keberanian untuk merealisasikan sistem dua parti.  Jalan ini sememangnya tidak mudah, tetapi saya mahu mengingati semua, kerjasama kami dengan PAS, PKR adalah satu manifesto deklarasi yang bertulis, Ini sudah diumumkan kepada semua, PAS ada ideologi PAS, DAP ada ideologi DAP, tetapi jangan lupa, PAS tidak pernah membunuh walau seorang pun orang Cina.  Ini realiti, biarlah kita bertabah hati, bertekad untuk berubah, walaupun susah, tetapi demi generasi muda, kita harus sempurnakan jalan perubahan ini!  Sekian.

*Teks ini disediakan dari pejabat Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang.

Kita semua adalah anak bangsa Malaysia, yang lain boleh pergi mampus!
Klik untuk berita penuh >>

Menentang rasuah yang “halal”

Tuesday, February 14, 2012

Olehkerana tarikh pilihan raya umum ditentukan oleh Perdana Menteri yang mewakili parti pemerintah, maka United Malays National Organisation (UMNO) dan Barisan Nasional (BN) telah menggunakan kedudukan mereka sebagai kerajaan untuk berbelanja sakan kepada rakyat menjelang pilihan raya.

Dalam bahasa yang lebih mudah, kerajaan UMNO-BN sekarang menggunakan wang rakyat – kutipan cukai dan hasil sumber negara – yang dipakejkan sebagai “duit kerajaan” untuk ditawarkan sebagai gula-gula politik kepada rakyat.

Pemberian ini dilakukan menerusi pelbagai skim bantuan di pelbagai tempat atau lokasi kepada pelbagai golongan.

Baik memanglah baik, tetapi hakikat kerja menteri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri adalah membuat dasar dan memastikan pelaksanaan dasar, bukan semata-mata memberi habuan kepada rakyat yang perlu dibalas budi dengan memberi undi kepada sang pemberi.

Ada cerdik pandai mengatakan pemberian itu berupa rasuah politik. Ini kerana, selain dari sebab-sebab yang betul, pemberian itu juga adalah atas motivasi untuk meraih undi di musim pilihan raya yang semakin dekat ini.

Maka pemberian sebenarnya ialah rasuah, tidak kira ianya berbentuk wang, baucar, skim, baja, beras atau apa sahaja. Namun, mengapa masih ramai antara kita tidak menganggap ini sebagai rasuah?

Rasuah yang canggih

Dalam kes rasuah parti politik yang bertopengkan kerajaan ini, modus operandinya adalah dengan menggunakan dana kerajaan, kakitangan kerajaan dan nama kerajaan. Motifnya pula amat ketara bila mana terdapat banyak sekali bantuan yang diberikan itu tidak ada dalam Bajet 2012.

Kita tidak nafikan hak rakyat untuk dibantu atau hak kerajaan untuk membantu, tetapi persoalannya ialah niat tidak menghalalkan cara. Apatah lagi, niat yang ikhlas tetapi dilakukan tanpa ada ketelusan ke atas harta rakyat. Isu ketelusan inilah yang menjadi punca rasuah.

Justeru, soalan yang sama – mengapa ini tidak dianggap sebagai kes rasuah yang perlu disiasat dengan lebih terperinci oleh pihak berkuasa? Bukankah antara tuntutan utama Bersih 2.0 mengenai pilihan raya bersih dan adil itu jelas mahukan kerajaan mengukuhkan institusi awam  dan menghentikan rasuah? Bukankah Suruhanjaya Pilihan Raya bertanggungjawab dalam hal ini?

Atau apakah kita semua sudah lali dan sanggup menerima yang “haram” sebagai “halal” kerana telah putus asa dan terlalu sinis dengan sebarang usaha meformasikan institusi termasuk amalan pilihan raya bersih?

Silap mata terhebat

Untuk persoalan ini, penjelasannya harus merujuk tentang bagaimana latar belakang dan amalan yang sedang berlaku dalam demokrasi di Malaysia. Seperti yang kita sebutkan di atas, tarikh pilihan raya itu sendiri sudah memberi hak eksklusif dan advantage kepada parti yang memerintah.

Apatah lagi dengan segala amalan dan tindakan kerajaan dalam kes ‘belanja rakyat’ ini, pastinya ia akan memberi kelebihan kepada parti tersebut. Amalan ini disahkan oleh undang-undang yang kebanyakannya digubal di Parlimen oleh majoriti dikuasai oleh parti UMNO dan BN sebelum pilihan raya 2008.

Dan, lebih malang lagi undang-undang yang melindungi amalan politik yang salah ini tidak jelas batasan atau pemisahan antara tanggungjawab dan kuasa kerajaan dengan batas peranan parti politik.

Akhirnya, amalan ini menjadi budaya dan ianya sah/halal dari aspek undang-undang dan tidak dapat didakwa sebagai amalan rasuah yang salah.

Malah, ia sendiri tidak dilihat sebagai amalan politik yang kotor. Inilah bahayanya rasuah, bukan sahaja harta benda awam akan hilang, malah moral dan akidah sebagai manusia juga akan terhakis.

Silap mata ini telah berjaya diamalkan lebih dari lima puluh tahun UMNO-BN memerintah Malaysia. Parti pembangkang, institusi awam dan rakyat hanya melopong kerana diperbodohkan secara sistematik.

Bersaing di atas lantai yang senget

Apakah keupayaan kita sebagai rakyat untuk menangani kehebatan silap mata UMNO-BN ini?

Oleh kerana suara alternatif kepada UMNO-BN adalah Pakatan Rakyat, maka secara amnya kita terima bahawa Pakatan adalah lambang suara rakyat.

Jadi langkah awal yang paling logik untuk Pakatan adalah dengan mengenepikan dahulu perbalahan-perbalahan kecil yang tidak memberi apa-apa manfaat untuk rakyat dan perubahan politik yang lebih besar. Ungkapan ini kita sudah dengar sendiri dari Pakatan Rakyat, namun gerakan yang tuntas masih dilihat lemah olah rakyat.

Kes-kes penyelewengan wang rakyat baik dalam isu NFC, Zakat, KLIA2, kerugian Proton, skandal saham MAS, skandal PKFZ hinggalah ke skandal Perwaja Steel harus diperjuangkan secara konsisten hingga ia mampu menjadi ‘gula-gula getah’ oleh rakyat – mudah difahami oleh masyarakat seperti mengunyah chewing gum. Inilah cabaran Pakatan Rakyat untuk memujuk, menterjemah dan meyakinkan rakyat.

Kes-kes salah guna kuasa lain seperti juga NFC, kes pita Linggam yang mendedahkan kepincangan sistem kehakiman hinggalah kepada kes pemberian kad pengenalan kepada warga asing hendaklah diiklankan setaraf dengan iklan Coca Cola, Hugo Boss atau paling tidak iklan “Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia!”

Aktiviti mempromosikan penyelewengan UMNO-BN menerusi iklan dan media, akan lebih mudah difahami oleh rakyat. Jika dilakukan secara betul di samping promosi tawaran PR, ia mampu mengubah persepsi menjadi undi kepada Pakatan. Hanya itu yang kita mampu.

Setidak-tidaknya rakyat bersama dengan Pakatan untuk membawa perubahan, selain membantu negeri-negeri pimpinan Pakatan melaksanakan ikrar yang jauh lebih baik daripada janji-janji manis UMNO-BN.

Biarlah UMNO-BN berbelanja sakan merasuah rakyat. Sebaliknya, Pakatan Rakyat harus menunjukkan contoh teladan yang baik dan sopan untuk meraih undi rakyat.

Mustahil rakyat Malaysia yang waras tidak boleh membezakan antara amalan politik buruk dengan yang baik. – Adil Mat Selamat
Klik untuk berita penuh >>

Manifesto seorang misoginis yang marah pada Februari jahanam



Bulan Februari ini bulan cinta. Bulan para kapitalis merejam panah-panah asmara demi keuntungan berlipat ganda. Bulan para sosialis menderita, terpaksa berpaling tadah dari faham ekonominya, demi perkaya para cukong bunga dan taukey coklat. Bulan para marhaen mengais apa yang ada untuk bikin senyum para isteri atau teman wanita.

Bulan Februari bulan celaka. Aku tidak suka ini bulan. Cinta ini racun sama tahap absinthe. Apa barang itu absinthe? Barang haram. Minum buat mabuk, pening, boleh nampak bidadari hijau terbang-terbang.

Di sini tak ada bikin. Mau minum, mesti letak sudu berlubang atas gelas, letak gula batu. Titis air sejuk dari atas, sampai air warna hijau jadi keruh warna putih-putih. Kalau malas, bakar saja itu gula, kasi cair sikit dan campur dalam air haram warna hijau itu tadi.

Mana aku tahu pasal ini semua? Aku tengok di televisyen lah, saluran TLC. Tengok saluran itu boleh belajar pasal semua minuman haram. Wikipedia pun ada. Apa nak hairan?

Jadi cinta ini macam menatang absinthe itu lah. Silap telan, perit dari tekak sampai ke dada. Betul cara bikin, menjadilah. Asyik dan khayal dia pun lain macam. Itu kata mereka yang ada pengalamanlah. Aku mana tahu.

Pengalaman cinta

Pengalaman absinthe tak ada, cinta ada la sedikit sebanyak. Nama pun jantan. Kalau jatuh basikal itu pra-syarat bergelar budak lelaki, maka sakit putus cinta itu pra-syarat jadi jantan. Dia punya sakit, macam langgar keretapi.

Tapi kau, kau hati tengah bunga-bunga. Dalam hati kau ada Taman Tasik Titiwangsa. Kau, kalau kena langgar lori balak tengah lebuh raya pun, kau bangun balik, ketis debu di bahu dan jalan terus. Macam tak ada apa jadi.

Sebab dalam hati kau ada taman. Kau lari pusing-pusing pokok dengan kekasih kau. Kepala otak kau la nak faham perit sakit hati orang lain bila datang bulan Februari. Jimbitlah.

Kau, kalau kena tembak dengan meriam, peluru meriam tu kau tepis. Itu kau la. Kau yang asal datang Februari saja menggelabah tempah restoran. Terkengkang-kengkang lari beli bunga sejambak, balut kotak coklat dalam kertas kilat.

Hingus meleleh-leleh pergi jumpa awek. Mengharap cinta dan mungkin balasan aktiviti ranjang. Atas nama cinta. Kau bertuhan cinta. Kau sembah cinta. Cinta yang ada di celah kelangkang wanita. Cinta yang mengekek ketawa bila kau termakan pujuk rayu setan. Dan kau gadaikan teruna kau untuk seorang yang sudah tidak punya dara. Demi cinta. Aku marah orang macam kau ini.

Februari boleh pergi mati. Februari boleh pergi mampos. Februari boleh pergi telan racun tikos. Februari boleh pergi terjun KLCC. Februari boleh ikat kakinya pada ketulan konkrit, pangku konkrit itu dan terjun dari tepi jambatan Pulau Pinang. Ini bulan penuh sial. Sial dan celaka untuk yang berhati walang.

Cinta – disukat, dirai dan di situ adanya

Ini cinta ini apa benda sebenarnya? Cinta ini ada tapi tak nampak. Tak boleh pegang. Tak ada bentuk, bau, bunyi. Tak ada sifat kuantitatif. Dan kau selalu pula tanya awek kau, ‘Baby sayang abang banyak mana?’ lantas awek kau jawab, ‘Banyaaakkk sangat tau.’

Eh, dia sukat pakai apa hah? Timbang kati? Timbang yang jadi simbol Barisan Nasional? Sukat pakai apa? Bohong lah! Cinta mana boleh sukat. Ingat boleh ukur? Ada indeks naik turun macam harga petrol? Penipu lah awek kau!

Februari konon raikan cinta. Raikan kekasih. Maka belikan dia bunga, mesti warna merah. Tak boleh warna putih? Mesti pakaikan juga topeng sosialis kepada satu pesta kapitalis? Kapitalis, seperti aku sebut awal tadi, akan lancarkan anak panah asmaranya tepat ke hati para pemuda. Sehingga rasa betul sakit terdesak terseksa, mesti cari perempuan untuk dihadiahkan bunga dan coklat.

Cinta yang di celah kelangkang tadi ketawa mengekek, ‘Lihatlah si jantan diperbodohkan, dia perkaya cukong coklat dan taukey kedai bunga demi dapat habuan celah kelangkang.’

Kebencian aku kepada Februari mengakar dari hati dan berpaut pada akal. Bukanlah tak ada hujung pangkal benci aku itu. Benci aku pada Februari ini seakan benci PKR kepada UMNO. Demikian adanya benci aku itu. Mengakar tunjang ke dasar masalah yang berpunca dari satu benda – reproduksi.

Reproduksi

Ya.. Kau tak salah baca. Reproduksi lah punca segala masalah dengan bulan celaka ini. Reproduksilah yang dikapitalkan oleh para pemodal untuk menjual ide-ide romantis bulan Februari supaya sang cukong kedai bunga boleh bawa keluar Mercedes sebijik lagi menjelang awal bulan tiga.

Reproduksi adalah modal paling besar Hollywood, menjual tubuh perempuan dengan beralasankan cinta dan romansa. Menjual tubuh perempuan yang difikirnya ideal, dengan fesyen yang mengikut musim, menonjol lurah dan celah, hanya demi menarik perhatian lelaki; hanya demi reproduksi.

Tidak ada yang bikin genitalia lelaki lebih menggigil selain sosok tubuh perempuan yang dijaja para kapitalis jahanam atas nama cinta. Atas nama cinta, bulan celaka ini dipergunakan untuk bikin laku minyak wangi, pakaian dalam, kondom, gari berbulu, wayang gambar, coklat, ais krim, dress, kasut tumit tinggi, lagu, konsert, champagne, kucing, cawan, bunga, implan silikon dan segala sesuatu yang boleh dikaitkan dengan cinta dan reproduksi.

Kepada Aphrodite, ini dia jari tengah aku kepada kau wahai betina celaka yang bikin kaya para kapitalis dengan hanya modal air gatal celah kelangkang. Eh jahanam betul kau Februari. Kau carik-carik hati aku macam serunding daging.

Lembu, kucing dan cinta

Daripada aku bersentuhan dengan kau wahai Februari, ada lebih baik aku sentuh lembu. Pastilah lembu-lembu NFC punya lebih perasaan berbanding kau wahai bulan durjana yang merperdagangkan cinta dan menjerit ria atas nestapa hancur hati mereka yang berduka. Lembu NFC sekurang-kurangnya hidup mewah dengan bil kad kredit ditanggung kerajaan. Ahh.. Alangkah rawannya hati menjelang tengah bulan dua. Celaka, celaka, celaka!

Tuhan kenapa perlu kau ciptakan cinta? Alangkah senang kalau aktiviti reproduksi itu tidak perlu kepada emosi. Bukankah lebih mudah kerja reproduksi jika tidak ada permainan tarik tali antara jantan dan betina, mempersoal emosi dan perasaan yang mungkin ada mungkin tak ada.

Seperti halnya kucing Schrodinger. Kau tahu tentang kucing Schrodinger? Hati kau ada taman, mana kau peduli perihal kucingnya si Erwin Schrodinger yang dikurung dalam kotak atas nama mekanik quantum.

Secara mudah, kucing yang dikurung dalam kotak, adalah tidak diketahui hidup matinya. Maka kucing Schrodinger yang terkurung itu wujud dalam keadaan hidup dan juga mati. Hanya jika dibuka kotak itu maka kita tahu hidup mati kucing tersebut.

Demikian juga halnya hati perempuan dalam permainan cinta. Dia mahu kau atau tidak, tidaklah kau tahu. Sebiji keadaan halnya dengan pilihan raya. Bubar parlimen atau tidak, tidaklah kau tahu. Dia biar kau tertanya-tanya dan kau percaya dengan semua kemungkinan.

Permainan cinta dan permainan politik seakan serupa. Kedua-duanya suka permainkan hati teruna. Dan cinta ketawa sakan, melihat si jantan dipermainkan UMNO dan juga perempuan. – Izmil Amri
Klik untuk berita penuh >>

Hentikan mereka dari menyedut kekayaan negara

Saturday, February 11, 2012


Tahukan anda bahwa kekayaan sumber asli negara sebenarmya mampu menyediakan kehidupan yang selesa kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum?

Malangnya akibat salah urus oleh pimpinan yang tamak dan tidak amanah menyebabkan jutaan rakyat seperti anda menanggung bebanan yang semakin meningkat hari demi hari. Ayuh bangun dari buaian mimpi indah yang penuh kepalsuan. Hadapilah realiti kehidupan sebenar. Sedarlah bahawa selama 50 tahun anda telah ditipu dengan pelbagai propaganda kehidupan yang lebih baik yang tidak kunjung tiba.

Inilah masanya untuk anda melakukan perubahan. Perubahan kepada kehidupan yang lebih bermakna oleh pucuk pimpinan yang adil, amanah dan mengerti dosa pahala.

Hentikan mereka dari menyedut kekayaan negara yang kita cintai ini.
Klik untuk berita penuh >>

Selagi ada Akta Hasutan, kebebasan hanya jadi impian



Selagi Akta Hasutan wujud, rakyat Malaysia akan terus terkongkong dan tidak dapat menikmati hak asasi manusia serta dikekang kebebasan bersuara di bawah pemerintahan UMNO-Barisan Nasional.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, rakyat Malaysia terus dibisukan oleh Akta Hasutan yang jelas bertentang dengan hak yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

“Adakah Malaysia akan tergolong dalam salah sebuah negara yang menawarkan kebebasan bersuara sahaja tetapi tidak ada kebebasan selepas bersuara?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata, DAP akan berdiri teguh bersama pengerusinya Karpal Singh yang menjadi mangsa akta zalim tersebut, sebagai simbol mengukuh dan menjunjung hak sama rata buat rakyat Malaysia bagi memperkasakan kepekaan hak asasi manusia terutamanya kebebasan bersuara.

Semalam, mahkamah memutuskan bahawa sebutan semula untuk perbicaraan kes Karpal atas tuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan ditetapkan pada 30 dan 31 Mei depan.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Azman Abdullah hari ini setelah Mahkamah Rayuan memerintahkan Karpal membela diri di Mahkamah Tinggi Jalan Duta hari ini.

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor sebelum ini telah pun dibebaskan dari pertuduhan di bawah Akta Hasutan.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Datuk Seri Najib Razak perlu mengkaji semula untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, satu undang-undang era jajahan kolonial British jika Perdana Menteri ikhlas untuk mereformasikan kerajaan.

Katanya, adalah zalim untuk kerajaan terus menggunakan akta ciptaan penjajah walau pun negara telah lama merdeka.

Beliau turut mengingatkan Najib supaya melaksanakan segera semua janjinya untuk memansuhkan perintah-perintah darurat, selain merombak atau menukar semula undang-undang kejam lain seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Namun, beliau berkata, semua itu tidak bermakna untuk mempromosikan transformasi politik “jika peguam terkemuka Malaysia dan peguam bela pihak pembangkang Karpal Singh boleh didakwa di bawah Akta Hasutan, disaman atau dipenjara hanya kerana bercakap perkara yang benar berasaskan fakta”.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menasihatkan kerajaan UMNO-Bn supaya mencontohi negeri pimpinannya yang telah pun melaksanakan usaha menggalakkan rakyat bersuara secara bebas dan tanpa takut.

Katanya, kerajaan negeri Pakatan telah mewujudkan Sudut Pidato yang pertama dalam sejarah kebebasan bersuara di Malaysia sebagai dalam usaha mewujudkan suasana untuk kebebasan berucap dan kebebasan selepas bersuara.
Klik untuk berita penuh >>

Mat Sabu: Perubahan pemerintahan bukan matlamat akhir perjuangan rakyat

Friday, February 10, 2012

"Saya akui, perubahan pemerintahan itu bukan matlamat akhir perjuangan rakyat.  Dia mesti menegakkan justice dan keadilan.  Sebab itu saya cukup suka apabila melihat munculnya kumpulan ABU ini," kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, sebelum menambah, bahawa beliau melihat ABU "...boleh menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional, mereka juga mampu menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat kalau menyeleweng nanti."

Demikianlah penilaian Mohamad Sabu terhadap ABU, singkatan kepada "Asal Bukan UMNO" - satu kempen untuk menolak UMNO-Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum akan datang.  Seperti biasa, pemidato terkenal ini tidak lupa mencuit rakan seperjuangannya dalam Pakatan Rakyat, mendakwa bahawa orang yang berkuasa menunjukkan kecenderungan yang hampir sama, lantas memerlukan pengawasan yang rapi.

"Amar makruf nahi mungkar, sebut senang nak laksana payah!" sindirnya dengan nada berjenaka, mencungkil gelak ketawa kira-kira 150 orang hadirin di bawah pentas, dalam "Forum Kiri: Kebangkitan Dunia Arab: Apa telah terjadi selepas satu tahun?", anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.

Beliau yang lebih dikenali dengan Mat Sabu, sempat berkongsi pengamatannya terhadap pergolakan politik yang berlaku di Timur Tengah, selepas genap satu tahun beberapa regim digulingkan.  Malah, Mat Sabu sempat mengaitkan beberapa fenomena yang berlaku di Timur Tengah, dengan apa yang berlaku di tanahair kita sekarang.

Sebelum ini, Penyelaras Antarabangsa PSM Choo Chon Kai (gambar kiri) selaku panelis, menekankan bahawa perjuangan tidak seharusnya dibubuh noktah apabila satu regim digulingkan dan digantikan dengan kerajaan yang baru, kerana perubahan struktur yang menyeluruh tidak semestinya berlaku.

Choo Chon Kai antara tahanan EO (di bawah Ordinan Darurat) ketika kerajaan Barisan Nasional cuba mematahkan perhimpunan BERSIH 2.0.  Menurut Choo, revolusi yang berlaku di Timur Tengah setahun yang lalu masih belum selesai, memandangkan sistem yang lama masih wujud, dan isu-isu seperti kemiskinan, pengangguran, kenaikan harga dan sebagainya, masih belum diselesaikan.

Kalau tak dapat semua, jangan tinggal semua

Seorang lagi panelis, Hishamuddin Rais mengambil sikap yang lebih sinikal terhadap kebangkitan rakyat yang disifatkan "Arab Spring" oleh media Barat.  Beliau cuba mengetengahkan kontradiksi utama di sebalik manifestasi di mana demonstrasi raksasa berlaku, mengaitkan kepentingan Amerika Syarikat dalam pergolakan ini.  Malah, untuk beliau, pertukaran kerajaan hanya pertukaran sekumpulan pelawak yang baru untuk berkuasa, tanpa perubahan dari segi struktur.

Mat Sabu (gambar kanan) bersetuju dengan sebahagian pengamatan itu, bahawa ada kalanya kebangkitan rakyat itu di-hijack oleh sesetengah pihak.  Malah beliau sempat bergurau dengan merujuk apa yang berlaku di Malaysia, di mana secara tiba-tiba bekas menteri datang dan mengakui dirinya pun ABU, malah mengutuk UMNO lebih kuat daripada pembangkang.

Bagaimanapun, beliau cuba melihat ciri-ciri positif daripada apa yang berlaku di Timur Tengah setahun yang lalu, satu perjuangan untuk mendaulatkan keadilan, dan sekurang-kurangnya rakyat negara berkenaan telah keluar dari alam diktator yang teruk selama 50 tahun sebelum ini.

"Memanglah kita ada satu idealistik yang kita perlu capai, tetapi dalam konteks perjuangan, kalau kita tidak dapat semua, jangan kita tinggal semua," kata Mat Sabu.

Projek Alaf Baru untuk Amerika Syarikat

Berucap sebelum Mat Sabu, Hishamuddin Rais menyeru agar hadirin tidak terpengaruh dengan manifestasi tanpa meneliti kontradiksi sebenar yang berlaku di Timur Tengah.  Sambil mendakwa bahawa demonstrasi raksasa di Dataran Tahrir itu hanyalah manifestasi yang dicetuskan kontradiksi yang lebih utama, Hishamuddin Rais memperkenalkan "Projek Alaf Baru untuk Amerika Syarikat" (Project For The New American Century) kepada hadirin.  Menurutnya, projek ini difikirkan otak-otak yang cerdik-pandai, graduan dari Universiti Havard dan Universiti Yale tetapi berhaluan kanan.

Beliau mengimbas sejarah, perjanjian pada tahun 1923 antara Amerika Syarikat dengan Arab Saudi, di mana Amerika berjanji mempertahankan Arab Saudi dengan syarat minyak akan dijual-beli dengan menggunakan dollar Amerika.  Lantas Amerika Syarikat terselamat dengan hanya mencetak wang dollar Amerika.  Ia menjelaskan juga mengapa media seperti Washington Journal, New York Times berdiam diri, apabila pencabulan hak asasi berlaku secara berleluasa di Arab Saudi?

"Tidakkah anda rasa itu sesuatu yang pelik?" tanya Hishamuddin Rais, merujuk kepada bagaimana kuasa Barat yang sering lantang dalam isu pencabulan hak asasi apabila berlaku di Dunia Ketiga.  Malah, Hishamuddin Rais menyatakan bahawa pernah wujud gerakan sayap kiri yang progresif di negara-negara Timur Tengah ini, namun digagalkan oleh Amerika Syarikat.  Beliau menambah, bukan lagi rahsia di mana wujudnya hubungan yang intim antara badan perisikan Amerika Syarikat, CIA dengan Ikhwan Muslimin, badan yang memperjuangkan gerakan Islam.

Untuk Hishamuddin Rais (gambar kanan), apa yang berlaku setahun yang lalu di Libya, Mesir, Tunisia dan sebagainya, adalah "pembocoran" yang terpaksa dilakukan, ketika kuasa Amerika berdepan dengan ombak kuasa rakyat, untuk menangguhkan revolusi agar perubahan struktur secara total dapat dielakkan.  Dalam perhitungan Amerika Syarikat, musuhnya bukan Syria, Libya, Tunisia dan sebagainya, tetapi China.  Kewujudan projek Alaf Baru untuk AS itu adalah untuk memastikan kuasa Amerika tidak dicabar mana-mana bala tentera di dunia ini.

Hishamuddin Rais berkata, perjuangan ini belum berakhir dan masih berjalan, kerana kontradiksi utama masih kekal.  Sebagai penyelesaiannya, satu sistem ekonomi di mana manusia tidak dijadikan hamba, lebih demokrasi dan terbuka, di mana manusia saling menghormati sesama manusia perlu diwujudkan, katanya. -MerdekaReview
Klik untuk berita penuh >>

Percayalah saya. Awak tolong saya, saya tolong awak…



“Percayalah saya” – satu “perutusan” Datuk Seri Najib Razak sempena Thaipusam di Batu Caves Selasa lalu jelas memberi satu lagi petanda kebimbangan Barisan Nasional untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Isi penting ucapan Najib yang ditayangkan oleh TV3 pada malam tersebut adalah, “awak tolong saya, saya tolong awak”. Kalau dulu, Perdana Menteri menawarkan perkara yang sama kepada kaum Cina, kini sasarannya kaum India pula.

Kita tidak tahu sama ada itu berbaur ugutan dari seorang pemimpin atau pun seorang pemimpin lemah yang cuba mengemis sokongan. Apa-apa hal pun, yang jelas adalah fakta bahawa tertimbulannya dua persoalan.

Yang pertama, perlukah masyarakat India menagih ehsan daripada seorang Perdana Menteri agar menerima ‘pertolongan’ tersebut? Dan yang kedua, bukankah tugas seorang Perdana Menteri memberi khidmat kepada rakyat jelata tanpa mengira latar belakang mereka?

Sudahlah orang Melayu sudah ditanam dengan mentaliti pencacai di bawah UMNO, kini masyarakat India secara terang-terangan ditawarkan yang sama.

Mesej Najib adalah: jika masyarakat India mahukan pertolongan dan pembelaan daripada BN, maka mereka terpaksa mengundi BN dalam PRU akan datang. Jika tidak, masyarakat India tidak akan mendapat bantuan.

Jelas, ia lebih bersifat ugutan daripada rayuan. Dan nampak pula keangkuhannya kerana terlalu yakin bahawa UMNO-BN akan terus kekal berkuasa.

Selama lebih setengah abad, orang Melayu ditekan dan dibasuh pemikiran agar menerima  mentaliti bergantung kepada UMNO. Kini Najib cuba memperluaskannya kepada masyarakat India (setelah masyarakat Cina memandang sepi tawaran/ugutan tolong-menolong ini).

Tuntutan sebenar rakyat

Apa yang dituntut oleh rakyat jelata adalah pemerkasaan, pengiktirafan, dan penghormatan. Rakyat tidak mahu lagi demokrasi terpimpin – amalan di mana hanya UMNO-BN yang lebih tahu apa yang baik untuk rakyat jelata yang dianggap sebagai kurang cerdik.

Sebenarnya, ugutan politik ini bukanlah perkara baru bagi UMNO-BN yang memang tidak ikhlas membela rakyat dan hanya mengutamakan panglima-panglima dalam parti.

Apa sudah jadi dengan royalti minyak di Kelantan di bawah perjanjian kerajaan negeri Kelantan dan Petronas? Terengganu yang suatu waktu dahulu menerima royalty minyak, kini hanya mampu bersyukur dengan ‘wang ehsan’.

Semuanya berlaku kerana rakyat di negeri-negeri tersebut telah memilih PAS. Malah apabila Terengganu dimenangi semula oleh BN, peruntukan royalti minyak tidak dikembalikan.

Amalan ugutan dan merampas hak rakyat atas politik kepartian dan perkauman sememangnya merugikan masyarakat.

Yang pertama, ia merupakan kezaliman kerana menafikan hak rakyat. Yang kedua, ia memencilkan tanggapan dan minda masyarakat tentang peranan mereka yang sepatutnya dalam konteks dinamika politik. Yang ketiga ia hanya mencipta pencacai-pencacai yang tidak mandiri dan percaya mereka adalah hamba kepada kerajaan.

Rakyat berhak mendapat, bukan meminta ehsan daripada kerajaan. Pembelaan kerajaan terhadap setiap warga negara merupakan tanggungjawab dan bukannya keistimewaan. Keangkuhan dan cengkaman kuasa terhadap institusi yang sepatutnya bebas merupakan antara sebab mengapa kezaliman yang dilakukan terhadap rakyat ini tidak diambil tindakan.

Rakyat hilang sabar

Tetapi seperti mana lumrah dan lazim seorang manusia, semakin lama maka semakin cerdiklah seseorang itu. Disuburkan pula dengan kematangan melalui pengalaman hidup, seseorang dapat belajar.

Kini Malaysia dan rakyatnya yang berbilang bangsa sudah lebih pandai dan lebih matang untuk menilai bahawa amalan-amalan politik perkauman tidak lagi mempunyai tempat di negara ini.

Rakyat sedar bahawa mereka tidak perlu takut kepada kerajaan tetapi kerajaan yang harus takut pada rakyatnya. Rakyat sudah hilang sabar dengan politik zalim yang menjadi amalan UMNO-BN.

Apa yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat jelas lebih baik daripada yang sedia ada. Kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak perlu melakuan ugutan politik. Mereka tidak merampas hak rakyat atas pemikiran kolot dan sempit kepartian, malah mereka mengajak rakyat memperkasakan diri mereka bukan menjadi pencacai.

Kerajaan bersih rakyat senang

Di negeri-negeri Pakatan Rakyat, jelas mengamalkan tender terbuka. Tidak perlu menjadi pencacai politik mana-mana pihak. Melayu tidak perlu pengaruh UMNO, Cina tidak perlu menjadi pencacai MCA, India tidak perlu tunduk kepada MIC.

Yang layak tetap mendapat hak. Yang kurang kemampuan diberi bantuan. Tidak perlu kabel politik. Tidak perlu tawar rasuah. Dan pentadbiran perlahan-lahan menjadi semakin bersih dan adil.

Jika sebuah kerajaan boleh mentadbir dengan baik, maka peluang-peluang tersebut akan dicipta dan kemakmuran dapat dirasai semua tanpa mengira latar belakang politik atau warna kulit kita. Contohnya di Pulau Pinang di mana sesiapa sahaja boleh bersaing untuk mendapat tender-tender kerajaan negeri yang terbuka. Maka dengan jelas polisi seperti ini mencipta dan mendatangkan kemakmuran kepada negeri dan kemakmuran itu diagihkan kepada rakyat negeri sehingga terhapusnya kemiskinan tegar di negeri tersebut.

Kata-kata “awak tolong saya, saya tolong awak” hanya memberi gambaran kerendahan akhlak politik. Pemimpin yang adil lagi bersih dalam menjalankan tanggungjawab akan berkata, “saya akan tolong awak walau apa pun keadaannya kerana itu adalah tanggungjawab saya”. –Fairuz Azhan
Klik untuk berita penuh >>

Ni Bukti UMNO/BN pelopor Kerjasama dengan YAHUDI

Thursday, February 9, 2012

Hipokrit ! Malaysia bekal minyak sawit ke Israel
Imej bendera Israel terkibar di PWTC tidak harus dilupakan

Pertemuan Menteri Pertahanan Malaysia dengan Menteri Israel bukti hubungan
diplomatik terselindung wujud

Kenyataan Terbuka
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

8 Febuari 2012

REGIM HARUS TAMPIL PERJELAS DAGANGAN SAWIT DENGAN ISRAEL

1. SAMM dengan ini menegaskan semula pendirian SAMM iaitu tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel. Umat Islam wajib menentang Israel kerana isu penjajahan kiblat pertama umat Islam (al Aqsa) namun semboyan penentangan kepada Israel ini melangkaui isu agama dan harus disambut oelh semua kerana ia isu kezaliman dan penindasan serta penjajahan moden dengan mewujudkan negara haram Israel.

2. Isu hubungan Malaysia - Israel ini kembali menjadi perhatian apabila media milik Umno dan para pemimpinnya sedang giat menggunakan petikan kata-kata Anwar di WSJ yang berbunyi "I support all efforts to protect the security of the state of Israel" untuk melakukan serangan bertubi pada beliau sebagai penyokong zionis.

Ketua Umum PKR itu turut mengeluarkan satu kenyataan mengecam pihak-pihak yang memutarkan kenyataannya dan menjelaskan bahawa beliau ada menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi ketika ditemubual oleh WSJ pada hari Khamis, 26 Januari 2011.

“Saya juga mengungkapkan bahawa jika syarat ini dipenuhi maka wajarlah hak rakyat Israel juga dihormati,” kata beliau, sambil menegaskan bahawa pendirian beliau selari dengan Resolusi 1397 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab (Arab Peace Initiative) yang berteraskan Penyelesaian Dua Negara atau lebih dikenali sebagai Two-State Solution.

dokumen rasmi kastam yang mencatat antara hubungan dagang Malaysia - Israel

2. Malaysia sebelum ini secara hipokrit telah menipu rakyat Malaysia kononya negara ini tidak lansung mempunyai hubungan dengan Israel. Hipokrasi pemerintah negara telah dirobek apabila 7 November lepas melalui sidang Dewan Rakyat, SAMM den gan kerjasama dan melalui YB Er Teck Hwa, ahli Parlimen DAP Bakri telah membangkitkan persoalan mengenai hubungan dagang Malaysia - Israel. Tidak boleh lari dari soalan yang turut disertakan dokumen beberapa borang kastam yang menjadi dokumen rasmi penghantaran/penerimaan barang dagangan Israel-Malaysia akhirnya YB Mukhriz Timbalan Menteri kemneterian Perdagangan Antarabangsa (MiTi) terpaksa mengakui bahawa hubungan dagang memang wujud tetapi hanya
dagangan 'terkawal' melibatkan syarikat asing (Multi Nasional Company-MNC) yang beroperasi di negara ini. Ini kononya terpaksa diberi kebenaran atas menjaga kepentingan pelabur yang datang ke Malaysia. Mukhriz menyatakan selain dari itu tidak ada lansung hubungan dagang. Menteri (MiTi) YB Mustafa Mohamad lansung diam dan tidak berani memberikan kenyataan mengenai perkara ini. (klik sini)

keratan borang JK 69 yang mempunyai pengesahan Kastam dan MiTi membuktikan kemasukan barang dari Israel untuk dipasang dalam negara sebelum dijual semula ke luar negara dari Malaysia.

3. Tidak berpuas hati Er Teck Hwa bangun mencelah beberapa kali dengan menyebut kan ia bukan transaksi biasa. Er mendedahkan kewujudan borang JK 69 yang menunjukkan syarikat yang beroperasi di Malaysia mengambil barang (tidak siap) dari Israel dan kemudian memasangnya di kilang di Malaysia kemudian menjualnya sebagai produk dari Malaysia. Maka secara tidak lansung barangan Israel berjaya sampai dipasarkan ke negara yang memboikot Israel dengan bantuan Malaysia. Panik dan tidak mampu menjawab pendedahan Er Teck Hwa yang dibantu SAMM maka hasilnya Er Teck Hwa diarahkan keluar dari dewan.

sidang media SAMM 8 Feb 2012, 11.30 pg, di P.Pinang menunjukkan kepada wartawan dokumen yang mengaitkan penghantaran minyak sawit dari Malaysia ke Israel

4. Terbaru SAMM telah menemui beberapa dokumen membuktikan bahawa wujud hubungan dagang lain secara terus dan melibatkan syarikat Malaysia. Dua dokumen 'Booking Conformation' melibatkan dua syarikat dari berpengkalan di Johor telah didapati menghantar minyak sawit dari Pasir Gudang dan Tanjung pelepas terus ke Ashdod iaitu pelabuhan terbesar Israel yang terletak 40 km dari Tel Aviv.

5. Dokumen ini telah didedahkan kepada wartawan dalam sidang media 8 Febuari 2012, 11.30 pagi di Komtar, Pulau Pinang.

6. Melalui carian di laman rasmi salah satu syarikat tersebut ada kaitan dengan Felda. Persoalanya adakah minyak hasil sawit peneroka Felda turut terlibat dihantar ke Israel ?

7. Hasil dari dokumen yang berjaya di akses menunjukkan tidak kurang dari 100 metrik tan Malaysia membekalkan minyak sawit ke Israel. SAMM yakin jumlahnya lebih dari itu kerana terdapat banyak penghantaran tetapi sehingga kini SAMM cuma mempunyai dokumen membuktikan dua penghantaran dan menurut sumber ada lebih dari dua penghantaran setiap bulan.
Rakyat sering di dera dengan putus bekalan minyak sawit di pasaran tempatan tetapi dalam pada masa itu negara terus membekalkan minyak sawit lebih dari cukup untuk Israel

8. Jumlah penghantaran yang banyak ini bukan sahaja cukup untuk kegunaan domestik Israel, tetapi menyebabkan Israel mampu memasarkan semula minyak sawit. Malah sudah ada usaha Israel menyimpan stok minyak sawit dan jika ini tidak dikawal maka Israel pasti mampu menjadi antara pemain utama pasaran hadapan sawit maka ekonomi negara pasti terancam apabila Israel boleh mengawal harga. Banyak kali rakyat negara didera kerana kehabisan minyak sawit dipasaran tetapi dalam pada masa yang sama Malaysia dengan 'selamba' membekalkan minyak sawit ke Israel.
Utusan Malaysia sebelum ini sudah melaporkan bagaimana kapal mengibarkan bendera Israel disambut di pelabuhan negara, kali ini bukan sekadar kapal tetapi ada bukti kehadiran pihak berkuasa Israel sendiri ke dalam negara bagi memastikan kualiti dan keselamatan Minyak Sawit untuk dihantar ke Israel

9. Lebih memeranjatkan terdapat bukti bergambar yang membuktikan 'pihak kerajaan' Israel juga telah hadir ke kawasan pelabuhan Malaysia untuk memastikan 'keselamatan' dan 'kebersihan' minyak sawit yang dihantar. Bagaimana ini boleh berlaku sedangkan Malaysia diwajahkan langsung tidak punya hubungan dengan Israel ? Ternyata regim ini 'munafik' !

10. Satu surat rasmi akan dihantar ke MiTi untuk meminta penjelasan mengenai perkara ini. SAMM menuntut regim tampil memberikan penjelasan dan menghentikan segera semua bentuk hubungan dagang dengan Israel serta meminta maaf kepada rakyat Malaysia dan Palestin kerana sikap hipokrit Malaysia.

11. Mengikut laporan Kesatuan Eropah Malaysia merupakan negara ke 15 yang aktif membantu ekonomi Israel.

Sekian ;

che'GuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia
http://www.anakmudamalaysia.com
Klik untuk berita penuh >>

Siapa yang menipu? SPRM atau Shahrizat?

Wednesday, February 8, 2012

Meskipun Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil mendakwa dirinya secara sukarela meminta untuk disoal-siasat, namun Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mustafar Ali mengesahkan kepada MerdekaReview, bahawa Shahrizat dipanggil SPRM untuk memberi kenyataan

Shahrizat Jalil (gambar kanan), juga Ketua Wanita UMNO kembali bertugas di Kementeriannya pada hari ini selepas bercuti tiga minggu, berada di ibu pejabat SPRM pada jam 4 petang tadi, dipercayai ada kaitannya dengan siasatan isu National Feedlot Corporation (NFC).  Menurut laporan The Star Online, Shahrizat mendakwa dirinya secara sukarela memohon untuk disiasat SPRM, melalui satu pesanan ringkas (sms) kepada wartawan media itu.

"Excuse me !! I am here at SPRM willingly. Have requested to be questioned and investigated so that no stone is left unturned. Enuff of wild allegations!" (Saya berada di SPRM secara sukarela. Saya meminta untuk disoal-siasat agar siasatan itu dilakukan secara menyeluruh. Cukuplah tuduhan liar!)

Namun demikian, ketika dihubungi MerdekaReview pada jam 6 petang, Pengarah Siasatan SPRM Mustafar Ali (gambar kiri) mengesahkan bahawa Shahrizat dipanggil untuk memberi kenyataan. Wartawan menyusul dengan memetik laporan The Star Online, bahawa Shahrizat mendakwa dirinya yang minta untuk disoal-siasat.

"Saya tak tahu apa dia cakap. Yang saya tahu dia dipanggil untuk beri kenyataan," kata Mustafar Ali. Bagaimanapun, apabila ditanya apakah soal-siasat ini berkaitan dengan isu NFC, beliau menamatkan perbualan sebelum wartawan sempat menghabiskan soalan.

Shahrizat Abdul Jalil adalah isteri kepada Pengerusi Eksekutif NFC, Mohamed Salleh Ismail, dan anak-anak mereka juga terlibat untuk menyandang jawatan dalam syarikat berkenaan. Sebelum ini, beberapa orang pemimpin Parti Keadilan Rakyat mendedahkan penyalahgunaan wang melalui NFC, dengan menyasarkan Shahrizat Abdul Jalil. Shahrizat yang enggan tunduk kepada tekanan pada awalnya, bagaimanapun mengambil cuti selama tiga minggu, mulai 12 Januari 2012 untuk memberi laluan kepada siasatan SPRM. - MerdekaReview
Klik untuk berita penuh >>

BERSEDIA - IRAN AKAN DISERANG ZIONIS




Israel's defence minister, Ehud Barak, has said the moment is approaching when any military intervention to halt Iran's nuclear programme will come too late, in a strong indication that the Jewish state is closer than ever to authorising actionTHE GUARDIAN LONDON 3 Feb 2012

Ehud Barak Menteri Perang Israel yang juga kenalan Zahid Hamidi Menteri Pertahanan Malaysia kini sedang mengolah pandangan dunia untuk melancarkan perang terhadap Iran. Perancangan untuk menyerang Iran ini bukan satu yang baru.

Pada tahun 1997 di Amerika Syarikat satu gerombolan puak kanan yang dikenali sebagai NeoCon telah mengeluarkan Kenyataan Prinsip yang dikenali sebagai Project For The New American Century – Projek Amerika Alaf Baru.

Gerombolan NeoCon ini telah mencadangkan :

- Amerika wajib menambah belajawan pertahanan, memodenkan alat persenjataan untuk mengawal dunia dimasa hadapan

- Amerika wajib memperkukuh hubungan dengan negara rakan yang mengamal demokrasi dan menentang rejim seteru yang berlawanan dengan kepentingan dan nilai Amerika

- Amerika wajib mengembang dan memperluaskan kebebasan politik dan ekonomi perdagangan bebas diluar negara

- Amerika wajib menerima tanggungjawab yang unik untuk memastikan dunia antarabangsa selari dengan kepentingan keselamatan, kekayaan dan prinsip Amerika

Sosok-sosok berfahaman kanan ini bernaung dibawah lambang NeoCon. Neo bermakan baru – manakala Con adalah singkatan dari perkataan Conservative. NeoCon bermakna fahaman Konservatif Baru. Dari segi idealogi NeoCon ini berhaluan kanan. Mereka menyokong dasar ekonomi kapitalis – pasaran bebas, penswastaan dan menolak negara berkebajikan. Mereka tidak mahu daulah campur tangan dalam urusan ekonomi. Gerombolan NeoCon ini melihat kuasa imperialis Amerika sebagai sebagai kuasa mutlak dunia sesudah USSR – Union of Soviet Socialist Republic - runtuh.

Adalah salah untuk melunggokan semua bengolan NeoCon ini sebagai Yahudi. Mereka terdiri dari WASP – White Anglo Saxon Protestant, ada ramai Yahudi malah Zalmay Khalilzad - wakil Bush Junior ke Afghanistan adalah contoh NeoCon yng beragama Islam. Agama tidak penting disini. Justeru bukan semua NeoCon beragama Yahudi tetapi semua NeoCon adalah Zionis. NeoCon adalah perserikatan intim antara Yahudi Zionis dan Christian Zionis. Nabi mereka ialah Irving Kristol – seorang pemikir Yahudi dan inteletual kanan. Rukun iman NeoCon ialah memastikan kesejahteraan Isreal.

Secara sedar NeoCon telah merancang dan menyusun. Mereka menubuhkan kumpulan pemikir, kumpulan pelobi, bersarang dimedia dan di dunia akademia – mereka mula berjaya menyusup masuk ke dalam pentabiran Rumah Puteh di zaman Ronald Reagan. Gerombolan in telah mengajukan pandangan mereka untuk dijadikan dasar Amerika. Justeru dunia diberitahu tentang Clash of Civilisation/Bentrokan Peradaban ( 1993) buku Samuel Huntington dan The End Of History/Tamatnya Sejarah (1992) buku Francis Fukuyama. Dua buku ini adalah contoh idealogy kanan yang menjadi rujukan NeoCon.

Presiden Ronald Reagan telah di gantikan pula oleh Bush Senior. Ini adalah zaman kegemilangan gerombolan NeoCon. Parti Republican yang berhaluan kanan dan konservatif telah sedia menerima pandangan dan cadangan dari NeoCon untuk dijadikan dasar. Apabila Bush Senior digantikan oleh Bill Clinton dari Parti Democrat gerombolan NeoCon mengalami sadikit kemunduran. Tetapi apabila masuk Bush Junior ke Rumah Puteh maka inilah masa dan ketika dimana semua dasar dan Projek Alaf Amerika Baru diimplementasi.


Apabila kita memasuki tahun 2008 Rumah Puteh telah diduduki oleh Obama dari Parti Democrat – seharusnya Parti Democrat ini memiliki dasar yang berlawanan dengan dasar kanan NeoCon. Tetapi politik Amerika telah beralih jauh ke kanan. Hari ini garis dan dasar yang membezakan Parti Republican dengan Party Democrat amat tipis. Malah ada beberapa dasar Parti Republican kelihatan lebih baik dari Democrat. Contohnya : Bush Junior secara terbuka melarang Israel mendirikan perkampongan baru di tanah dan wilayah Palestin yang telah di rampas. Barack Obama hingga ke saat ini langsung tidak berani bersuara terhadap keganasan Israel.

Jangan silap baca. Barack Obama dinaikan ke tahta Rumah Puteh adalah sebahagian dari perancangan untuk mengabui mata rakyat dunia. Jantan berkulit hitam di Rumah Puteh ini tidak akan dituduh rasis apabila membenarkan kapal terbang mengebom Libya atau Syria dan membenarkan drones membunuh Anwar al-Awlaki warga Amerika sendiri di Yamen.

Belum pun habis satu penggal – Obama - Si Jantan berkulit hitam ini juga telah mengarahkan CIA untuk menggunakan drones dan meledakan bom di Utara Pakistan. Lebih banyak bom jatuh di Utara Pakitan di zaman Obama berbanding dengan dua penggal Bush Junior di Rumah Puteh.

Mengikut falsafah NeoCon wajib diwujudkan satu kumpulan kelas elit pemerintah yang bijak bistari untuk mengendalikan sesebuah negara. Manakala orang ramai dan warga negara hanyalah menjadi pengikut. Orang ramai hanya wajib menerima arahan dari pemimpin yang bijak pandai ini.

Jika falsafah ini diterjemahkan untuk dunia maka kelas elit yang berkeupayaan berfikir untuk memimpin dunia hanyalah NeoCon yang berpengkalan di Amerika Syarikat. Negara-negara lain dalam dunia ini hanya perlu mengikut perentah. Jika falsafah ini diikut maka dunia mengikut pandangan NeoCon akan aman makmur. Inilah yang mereka namakan New World Order atau Tata Dunia Baru - yang sedang dirancang untuk diwujudkan.

Tetapi apa sangkut pautnya semua ini dengan Iran?

Dizaman Shah Ahmad Reza Pahlevi dahulu Iran dianggap sebagai negara sahabat Amerika. Shah Reza menjadi pembeli senjata Amerika yang kedua terpenting sesudah Saudi Arabia. Iran sanggup menjadi Tok Sarjan yang setia untuk mengawal Selat Hormuz. Bala tentera Shah menjadi barua Amerika yang menjaga keselamatan lalu lintas tanker minyak di perairan ini. Hampir 40% minyak dunia melintasi selat ini. Hampir 60% minyak untuk Jepun lalu di selat ini. Iran menjadi negara yang amat penting untuk keselamatan perjalanan minyak yang menjadi asas sistem ekonomi kapitalis.

Justeru, apabila Shah Reza di halau keluar dan Iran menjadi republik pada tahun 1979 maka Iran terus dicap sebagai musuh Amerika. Kerajaan Iran dicap sebagi pengganas.

Mengikut idealogy NeoCon tidak akan dibenarkan lagi muncul mana mana negara yang berkemungkinan bangun untuk menentang atau berani engkar tidak mengikut telunjuk Amerika Syarikat. Tidak juga Iran, tidak juga China – tidak juga Russia akan dibenarkan menggugat kepentingan Amerika dalam dunia hari ini.


Era dua negara super/ two super powers – Amerika dan Soviet Union seperti dizaman Perang Dingin dahulu – tidak akan dibenarkan muncul lagi. Yang wujud hari ini adalah dunia unipolar – dunia Amerika dan empire Amerika.

Justeru, apa yang kita lihat berlaku di Iraq, di Libya dan di Syria adalah contoh dimana rejim-rejim yang engkar atau culas dan tidak berkiblat ke Rumah Puteh sedang dilupuskan. Semua ini adalah perancangan NeoCon. Semua yang berlaku hari ini adalah strateji perancangan mengimplementasi Projek Amerika Alaf Baru.

Ketika tulisan ini digarap media antarabangsa sedang berdondang sayang tentang kemungkinan Iran berjaya menjadi kuasa nuklear. Saban hari rakyat dunia diberitahu betapa kita dalam bahaya jika Iran memiliki senjata nuklear. Tidak cukup dengan dondang sayang ini – kita juga dapat membaca komen-komen dari pegawai tentera Amerika yang telah bersara. Mereka memberi amaran agar ‘dilakukan sesuatu’ : baca serang - terhadap Iran sebelum terlambat.

Kita juga berpeluang membaca komen dari bekas tim risikan Amerika dan Britain. Mereka mengabsahkan bahaya yang akan menimpa dunia jika Iran memiliki bom nuklear. Jika semua ini tidak meyakinkan dunia maka Isreal dan Mossad akan mengeluarkan data dan gambar tentang loji nukelar bawah tanah sebagai bukti yang Iran sedang membuat bom nuklear.

Pada ketika ini semuanya sedang diatur mengikut perancangan. Di Pulau Socotora yang terletak di antara Laut Merah dengan Telok Aden – bala tentera Amerika sedang dikumpulkan. Pada akhir bulan March ini akan cukup 100,000 bala tentera Amerika dari semua pasukan berkampong di Socotora. Jumlah 100,000 ini sama dengan jumlah tentera Amerika ketika Bush Junior ingin menyerang Iraq dalam tahun 2003 dahulu.

Sebelum perang pecah dan Iran diserang , para zionis saperti Ehud Barak terus mengolah persetujuan orang ramai agar melihat Iran sebagai musuh dunia. Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu akan mengenakan sekatan ekonomi seperti yang telah dilakukan kepda Iraq dahulu.

Media pro Zionis akan terus berdondang sayang untuk memastikan rakyat dunia akan melihat Ahmadinejad Presiden Iran sebagai Hitler baru. Bila label telah dibubuh maka amat senang untuk ditembak.(TT)(bersambung)
Klik untuk berita penuh >>

Kolumis : Di Manakah PAS, 10 Tahun Dari Sekarang?

Tuesday, February 7, 2012

Kolum Kesatuan Fikrah adalah wadah untuk rakyat memperlihatkan kepelbagaian idea daripada lapisan-lapisan pemimpin PAS, dari yang veteran ke pemuda dalam isu-isu hangat yang membelungi negara kini.

Mewakili PAS Pusat ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, suara ulama diwakili oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh manakala suara pemuda diwakili Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi.

Jika anda mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanyakan kepada Abang Mat, Ustaz Tuan dan Ustaz Nasrudin, sila email kepada hdaily.kesatuan.fikrah@gmail.com

Minggu ini, mereka berempat berbicara dengan soalan berikut:

Bagaimana anda melihat PAS 10 tahun dari sekarang? Apakah perkara terpenting yang perlu dilakukan PAS sekarang utk mencapai matlamat itu?

Mohamad Sabu

PAS mesti menonjolkan “good governance” dalam masa 10 tahun akan datang. Para pemimpin PAS dan pentadbirannya harus berubah ke arah yang lebih telus, beramanah dan bertanggungjawab serta performance oriented.

Pemimpin-pemimpin PAS yang memegang jawatan awam perlu bersedia dihisbah termasuk pengistiharan harta pemimpin, Menteri, Menteri Besar, Ahli Parlimen, Adun, ahli majlis tempatan dan lain-lain lagi. Pada hal ini, PAS tertinggal berbanding kerajaan Pakatan Rakyat yang lain.

Ramai yang sudah bosan mendengar retorik berbunyi Islam adalah lengkap, Islam adalah jawapan dan penyelesaian kepada masalah sekarang. Dalam 10 tahun ini, PAS kena membawa Islam dari sudut pelaksanaan – seperti elakkan pemimpin keluarga diri sendiri terlibat daripada rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.

Dalam 10 tahun ini, PAS mesti berusaha dan memokuskan kepada pelaksanaan untuk melahirkan kerajaan seperti zaman Umar al-Aziz dan Umar al-Khatab. PAS mesti membawa Islam ke paras lebih tinggi melalui pelaksanaan.

Zaman retorik sudah berlalu. Sekiranya bergantung pada character PAS dan kehendak generasi sekarang untuk berubah. Sekiranya PAS dapat melaksanakan yang terbaik ke arah itu, Insha-Allah PAS akan menerajui negara Malaysia ke arah negara yang makmur dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.

Sebaliknya, jika kita gagal, kita akan ketinggalan jauh berbanding rakan-rakan kita di Pakatan Rakyat.

Tuan Ibrahim Tuan Man

PAS akan terus kekal menjadi parti utama di Malaysia menjelang 10 tahun akan datang. InshaAllah. Dengan perkembangan semasa yang memperlihatkan kebangkitan semula gerakan Islam di seluruh dunia, maka PAS juga dilihat menjadi parti utama untuk masa depan.

Untuk menghadapi situasi tersebut, PAS perlu menyusun gerak kerja membina keyakinan masyarakat dan rakyat negara ini untuk dilihat sebagai sebuah parti yang diyakini mampu membawa perubahan besar kepada rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.

Cabaran besar PAS ialah memecah tembok yang dibina oleh Umno dan BN terhadap parti kita, seolah-olah ianya hanya untuk orang Islam dan tidak sesuai untuk kaum dan agama lain. Situasi ini kini semakin berubah dengan wujudnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

DHPP perlu melebarkan sayap melepasi halangan kaum dan agama bahkan sempadan geografi Semenanjung sahaja. Ia perlu melepasi Laut China Selatan bagi melebarkan sayap ke Sabah dan Serawak.

Keyakinan kepada kemampuan PAS memimpin mesti diterjemahkan kejayaan negeri yang diurus tadbir oleh PAS khususnya seperti Kelantan dan Kedah. Diharap kedua-dua kerajaan PAS tersebut dapat membawa Islam ke tahap lebih tinggi dengan menunjukkan model pentadbiran dan pelaksanaan Islam yang efektif, bermanfaat dan adil kepada rakyat Malaysia dan antarabangsa. Manakala peranan Ahli Parlimen, ADUN-ADUN dan exco dari PAS juga menjadi model nilaian awam terhadap kemampuan ini.

Oleh itu, PAS wajar memiliki satu master plan jangka panjang dan persiapan segala keperluan ke arah itu. Demikian juga, satu keperluan untuk mewujudkan sebuah pusat latihan pengkaderan kepimpinan parti yang lengkap dan pelan menjana dana yang munasabah juga direalisasikan untuk mencapai hasrat itu.

Azam, tekad, kerja kuat dan bijak dengan berstrategi mampu membuktikan apa yang kita inginkan pada masa hadapan akan berjaya, InshaAllah.

Nasrudin Hasan Tantawi



PAS adalah sebuah parti yang kukuh dengan prinsip perjuangan yang bertunjangkan Islam. Sebagaimana kukuhnya Islam agama yang diwahyukan oleh Allah swt maka begitulah kukuhnya prinsip perjuangan yang dipangku oleh PAS menongkah 1001 macam halangan, rintangan dan cabaran sejak hari tubuhnya.

Meredah masa depan, selama PAS berpegang teguh dengan perjuangan Islam, ia tetap unggul biarpun menggapai usia 100 tahun lagi justeru Islam adalah agama dari Allah swt yang sesuai sepanjang zaman sehinggalah dunia digulung kiamat kelak.

Sebagai sebuah Gerakan Islam, PAS adalah alternatif untuk menggagas masa depan negara yang sejahtera, menepati sebuah pemerintahan good governence, bebas korupsi dan diredhai oleh Allah swt. Dunia semakin kosong dan gersang tanpa Islam sebagai petunjuk Allah swt. Inilah yang difirmankan oleh Allah swt :

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Menyedari harapan ini,  PAS sebagai sebuah wadah perjuangan ummah mesti dipersiapkan agar hadhir dan tampilnya menepati tuntutan semasa. PAS selayaknya mula menguasai polisi ke arah mempersiapkan dirinya  untuk menjadi kerajaan yang mengurus tadbir negara, bukan lagi terjerat dalam kelompok pembangkang yang hanya tahu membangkang tanpa solusi yang efektif.

Bermula dengan menyusun saff kepimpinan parti yang terdiri dari kalangan figure mampu dan layak menggalas amanah kepimpinan, bukan sahaja kepimpinan parti tetapi juga kepimpinan negara. Andai sukar untuk memiliki figure kepimpinan sedemikian, mungkin juga boleh mengambil kaedah 2 line up kepimpinan, iaitu kepimpinan yang mengurus parti dan satu lagi ialah kepimpinan yang mengurus negara. Namun kedua-dua line up kepimpinan berada di dalam satu majlis pemesyuaratan parti.

Usaha pengkaderan mesti kemas dan diberi perhatian utama oleh parti untuk melahirkan anggota dan kepimpinan parti yang komited dengan dasar perjuangan sekaligus mampu mendokong aspirasi parti. Parti mesti bijak  serta pantas mengurus masaalah, konflik dan tekanan agar tidak membuang terlalu banyak masa melayan karenah masalah atau konflik yang timbul sedang perkara fundamental seperti melahirkan anggota dan kepimpinan parti yang berkualiti tinggi terabai.

Untuk menuju cabaran 10 tahun akan datang, antara lain PAS perlu menumpukan kepada 2 skim kualiti.

Pertama kualiti pada figure samada anggota atau pemimpin yang mampu serta layak menyandang amanah di mana posisi ia ditugaskan. Bukan figure yang hanya melakar publisiti melalui kepetahan berpidato tetapi lemah dalam tindakan.

Kedua ialah kualiti pada organisasi dan penstrukturannya agar dilihat lebih kemas, sistematik dan menepati piawaian sebuah organisasi moden yang mampu menangani saingan gerakan semasa.

Nik Muhammad Zawawi Salleh

Dalam masa 10 tahun, Insya-Allah, Pas sudah memerintah negara Malaysia dan muncul sebagai sebuah parti diwakili semua kaum dengan konsep negara berkebajikan yang dibawanya. Umno, pula ketika itu sudah tiada kekuatan dan semua ahlinya berpusu-pusu memasuki PAS dan berdakwah untuk Islam.

Untuk mencapai hasrat ini, Pas perlu mempertingkatkan usaha tarbiyyah kepimpinan dan seluruh anggotanya agar memahami dasar dan matlamat perjuangan Islam.

Pas juga mesti membina pelapis kepimpinan yang berorentasikan tarbiyyah mengikut acuan PAS.

Pas juga perlu meningkatkan usaha dalam rangka memantapkan hubungan baik dengan semua kaum, agama dan parti politik lain selain menonjolkan pentadbiran Islam yang sebenar dalam kerajaan yang diterajuinya.
Klik untuk berita penuh >>