Followers

Kebetulan dan moraliti

Wednesday, April 18, 2012

Kebetulan semalam aku kelaparan dan punya sedikit wang di tangan. Tidak mahu makan malam sendirian, aku tanyalah dua tiga orang teman yang barangkali punya kelapangan untuk diajak makan bersama. Kebetulan semuanya punya urusan masing-masing. Senggugut lah, anak demam lah, bini tengah ovulasi lah; macam-macam.

Kebetulan aku menghala ke arah Bangsar. Tahu sahaja lah, di situ ada tempat-tempat makan yang agak menarik. Barangkali mampu membantu menjawab persoalan harian paling besar di negara dunia pertama hari ini, “Nak makan kat mana?”

Selain mempunyai tempat makan yang menarik, Bangsar juga punya mempunyai masalah tempat letak kereta. Itu satu benda yang aku kurang gemar. Kebetulan pula sewaktu sedang memilih tempat untuk beli makanan, ada tapak parkir betul-betul depan sebuah kedai sandwich.

Wanita bertudung

Kebetulan juga, sedang duduk di meja dekat luar kedai itu seorang wanita pertengahan usia sedang bercakap telefon. Tudung kelabunya tidak mengikut trend wanita masa kini yang lebih senang memakai tudung pemalas yang main serkup dan susun dari negara seberang.

Tetapi memandangkan aku ini lelaki dan bukanlah seorang fashion police maka bukan itu yang menarik perhatian aku kepada wanita ini. Di antara jari tangan kirinya ada sepuntung rokok yang masih bernyala. Antara percakapannya di telefon, rokok disentuhkan ke bibir, disedut dan asapnya dihembus berkepul-kepul keluar.

Ini bukan pemandangan lazim bagi aku, seorang Melayu yang walau pun tidak sangat konservatif tetapi masih kuat berpegang kepada nilai-nilai yang disepakati umum sebagai nilai-nilai yang mahmudah (terpuji). Ya lah…Berapa kali setahun kau dapat lihat seorang wanita bertudung senang lenang menghisap rokok di ruang awam?

Aku sekadar menjeling dengan penuh intrig dan berlalu masuk ke dalam kedai. Pesan makanan dan duduk melantak sandwich sepanjang satu kaki berisi salad dan daging. Lapar betul aku. Aku memang pun sentiasa lapar, tapi itu cerita lain. Mata aku masih memandang kepada wanita di luar itu yang sudah menyalakan sebatang lagi rokok sambil diperhatikan sekumpulan anak muda di meja sebelah.

Grup anak muda ini rupanya teman kepada pekerja kedai yang asyik pula keluar masuk membawa kunci motor. Sambil berlalu aku terdengarlah percakapan mereka tentang wanita di luar sana. Aku tidak sangat memberi perhatian walau aku dengar dua tiga patah. Biasalah, Melayu, mesti mau jaga tepi kain orang lain. Fitrah. Namun aku tetap tak ambil cakna sangat. Sandwich depan mata aku jauh lebih menarik perhatian.

Selesai melantak, aku beransur keluar dan sambil menapak, aku keluarkan telefon bimbit dan ambil gambar wanita itu dari belakang, rokok masih di tangan. Tudung juga masih di kepala, jangan lupa. Ada ‘brader’ dari meja sebelah senyum melihat perbuatan aku itu.

Pastilah itu bukan ibunya, kalau tidak sudah semestinya aku kena penumbuk tepat ke dada. Sambil duduk di dalam kereta, tangan aku gatal mahu upload ke Facebook. Biar berkongsi rasa. Aku tuliskan sebagai keterangan gambar, “Tengok la tu. Makcik bertudung, rokok di tangan. Manis sangat lah perangai.”

Silap besar?

Kebetulan kawan-kawan aku di Facebook ini terdidik untuk bertingkah dan mengemukakan pendapat. Sehingga jam 2:30 pagi (sewaktu tulisan ini sedang ditaip) masih ada komen yang masuk kepada gambar yang aku muat naik itu. Ada yang bersetuju dengan pendapat aku. Namun yang mengutuk perbuatan aku jauh lebih ramai.

Komen terakhir yang diterima menjelaskan dengan amat baik kenapa sebenarnya orang tidak berkenan dengan perbuatan aku ini. Rakan sekerja ku menyebut, “kena faham kenapa orang tak suka, anda menggambarkan bahawa anda ‘holier than thou‘ dan orang tak suka apabila terdapat seseorang di atas ‘moral high horse‘nya menghakimi orang lain berdasarkan ideals beliau. tambahan pula subjek tersebut merupakan seorang wanita. sememangnya apabila kita meletakkan standard of accepted behavior ke atas wanita, secara otomatis itu pun sudah sexist, tak kisah apa pun niat kita.”

Aku setuju dengannya. Pendapatnya betul. Tetapi ada pula yang menyebut, “Dah kalau perkara itu nampak tak enak pada mata kita, takkan kita tak boleh nak ekspresikan pendapat sendiri? Lagi pun apa yang disuarakan bukannya berbentuk perintah atau pun arahan. Perempuan yang merokok itu masih boleh mengekalkan tudungnya ketika merokok. Itu kebebasan dia, menyuarakan ketidak senangan hati, itu kebebasan sendiri.”

Isunya apa?

Jadi persoalan besar di sini apa sebenarnya? Tidak, aku tidak mempertanyakan ‘hak wanita bertudung untuk merokok di khalayak umum’. Seperti jawapan separa konservatif aku kepada seorang teman yang memberi komen; seks oral juga bukan satu kesalahan, tetapi bukalah tudung tu dulu. Maka bukanlah hak dan kebebasan beliau yang menjadi masalah.

Adakah pula aku cuba memaksakan iman dan nilai-nilai ‘mahmudah’ yang disepakati umum ke atas beliau? Itu juga tidak. Ini juga aku sebut dalam menjawab pandangan kawan-kawan Facebook. Makcik masih bebas hisap rokok dengan tudung di kepala. Tidak aku tepis rokok dari jarinya dan tidak pula aku rentap tudung dari kepalanya. Tidak. Aku bukan moralis seperti yang didakwa. Aku juga bukan malaikat.

Adakah aku ini seksis pula kerana cuba mencadangkan apa yang patut dan tidak patut dilakukan oleh seorang wanita bertudung? Ini juga aku rasa tidak. Aku tidak menegur makcik tersebut dan menyuruhnya supaya mengikut piawai sosial. Dia boleh membuat tarian tiang di depan kedai itu sambil tudung masih di kepala; suka hati dia, aku tidak punya hak untuk marah.

Tetapi adakah aku pula tidak punya hak untuk rasa tersinggung?

Moraliti

Moraliti adalah soal besar yang tidak mudah untuk dikanunkan atau dipaksakan ke atas umum. Moraliti bukan undang-undang. Soal moraliti ini adalah soal dasar keberadaban manusia. Apa yang diterima umum sesuatu kawasan sebagai tidak bermoral, tidak semestinya jadi perkara tidak bermoral di tempat yang lain.

Bercemolot (cium mulut) di tempat umum sebagai contoh. Aci kerat jari kalau kau ketemu kejadian ini di atas tangga KLCC menuju air pancut, kau akan terus kata, “Ewww…Get a room please.” Tetapi di Barat, ini normal. Ini ‘common-sense’ di sana. ‘Common-sense’ ini bukanlah setakat ditakrif sebagai ‘masuk akal’ tetapi juga ‘kesepakatan umum’. Jika umum sepakat bahawa aktiviti bersidai di tengah laman waktu tengah hari tanpa memakai pakaian itu adalah suatu norma, maka ia akan dengan sendirinya hilang dari senarai perkara tidak bermoral.

Tetapi situasi ‘wanita bertudung isap rokok’ ini tidaklah sampai maqamnya begitu. Namun kita tidak harus menolak bahawa adalah janggal bagi seorang wanita bertudung untuk merokok di khalayak kerana ia bukanlah suatu norma. Bukan kelaziman bagi sekumpulan awek bertudung litup untuk duduk lepak dan meletakkan kotak rokok di sebelah Blackberry di atas meja di kedai mamak. Barangkali belum menjadi kelaziman dan proses untuk aktiviti itu menjadi norma sedang berjalan.

Kenapa selektif?

Kita pusing kembali waktu ke hari Sabtu lalu apabila aku memuat naik sekeping gambar seorang anak kecil yang aku kira belum pun lima tahun usia ke Facebook. Anak kecil yang pakai baju warna-warni ini duduk di atas kerusi plastik, kakinya juga tidak cecah lantai. Di tangannya ada alat kawalan permainan video yang sedang berlangsung di kaca televisyen.

Kelihatan di skrin, ada zombi-zombi yang sedang meletup kepalanya, ditembak dengan rakus oleh anak kecil ini tadi. Anak ini, wajahnya selamba sewaktu gambarnya aku rakam sambil jari-jari halusnya tetap menekan punat-punat yang mengakibatkan senapangnya menembak kepala-kepala zombi sampai berkecai. Semuanya headshot belaka.

Ini juga tidak normal rasanya. Tidak pula gambar ini menerima komen berjela meski keadaan ini merunsingkan. Tetapi barangkali aku ketinggalan zaman. Barangkali memang budayanya sekarang, anak kecil mesti belajar dan dilatih untuk berdepan situasi apokaliptik yang dipenuhi zombi yang laparkan otak manusia. Situasi ini dahulu di zaman aku kecil-kecil tidak kelihatan. Kami dahulu main Mario dan Sonic. Tidak ada tembak-tembak zombi.

Nilai sosial masa kini semakin jauh melencong dari apa yang kita anuti sepuluh ke lima belas tahun lalu. Anak kecil sudah pandai tembak zombi, wanita bertudung sudah tidak segan silu merokok di sana sini, anak sekolah lima belas tahun usia sudah bangga dirinya tidak lagi punya dara.

Halal atas nama kebebasan?

Tetapi tak apa. Ini semua halalan-thoyyiba atas nama kebebasan dan hak sama rata. Hasil didikan kapitalisme yang menyongsong individualisme, akhirnya manusia hidup nafsi-nafsi. Jiran pun sudah tidak kenal sama sendiri. Apatah lagi mahu bertegur jika ada yang tidak kena. Hatta definisi ‘tidak kena’ itu pun sudah tidak tahu apa dia. Ini kerunsingan yang tidak harus ditolak tepi.

Jadi berbalik kepada persoalan pokok; apa sudah jadi dengan kita? Haruskah reformasi dan perubahan menjadikan kita makhluk dan tamaddun yang sama sekali berbeza? Mestikah globalisasi dan moderniti memaksa kita untuk meminggirkan adab sopan dan budaya?

Adakah dengan nama kebebasan dan kesaksamaan maka halal dikorbankan nilai-nilai yang terpuji? Wajarkah kebiasaan sosial dirombak atas nama kemajuan? Mestikah hak berpendapat dan menjaga budaya disisihkan demi memberi laluan kepada makhluk yang namanya individualisme? Apakah dia sebenarnya yang benar dan betul?

Kebetulan, ini semua soalan-soalan yang harus kita jawab sambil melihat ke cermin muka. Aku mungkin salah. Kau juga tak semestinya betul. Dan aku belum pula pula bercerita tentang moraliti menghisap rokok itu sendiri atau pun etika menggelar orang lain sebagai ‘makcik’. Siapa yang menentukan norma? – Izmil Amri

Mohon kongsikan bacaan ini untuk bacaan semua. Terima kasih
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments
0 Comments

0 comments: