Followers

Selagi ada Akta Hasutan, kebebasan hanya jadi impian

Saturday, February 11, 2012

Selagi Akta Hasutan wujud, rakyat Malaysia akan terus terkongkong dan tidak dapat menikmati hak asasi manusia serta dikekang kebebasan bersuara di bawah pemerintahan UMNO-Barisan Nasional.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, rakyat Malaysia terus dibisukan oleh Akta Hasutan yang jelas bertentang dengan hak yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

“Adakah Malaysia akan tergolong dalam salah sebuah negara yang menawarkan kebebasan bersuara sahaja tetapi tidak ada kebebasan selepas bersuara?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata, DAP akan berdiri teguh bersama pengerusinya Karpal Singh yang menjadi mangsa akta zalim tersebut, sebagai simbol mengukuh dan menjunjung hak sama rata buat rakyat Malaysia bagi memperkasakan kepekaan hak asasi manusia terutamanya kebebasan bersuara.

Semalam, mahkamah memutuskan bahawa sebutan semula untuk perbicaraan kes Karpal atas tuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan ditetapkan pada 30 dan 31 Mei depan.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Azman Abdullah hari ini setelah Mahkamah Rayuan memerintahkan Karpal membela diri di Mahkamah Tinggi Jalan Duta hari ini.

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor sebelum ini telah pun dibebaskan dari pertuduhan di bawah Akta Hasutan.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Datuk Seri Najib Razak perlu mengkaji semula untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, satu undang-undang era jajahan kolonial British jika Perdana Menteri ikhlas untuk mereformasikan kerajaan.

Katanya, adalah zalim untuk kerajaan terus menggunakan akta ciptaan penjajah walau pun negara telah lama merdeka.

Beliau turut mengingatkan Najib supaya melaksanakan segera semua janjinya untuk memansuhkan perintah-perintah darurat, selain merombak atau menukar semula undang-undang kejam lain seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Namun, beliau berkata, semua itu tidak bermakna untuk mempromosikan transformasi politik “jika peguam terkemuka Malaysia dan peguam bela pihak pembangkang Karpal Singh boleh didakwa di bawah Akta Hasutan, disaman atau dipenjara hanya kerana bercakap perkara yang benar berasaskan fakta”.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menasihatkan kerajaan UMNO-Bn supaya mencontohi negeri pimpinannya yang telah pun melaksanakan usaha menggalakkan rakyat bersuara secara bebas dan tanpa takut.

Katanya, kerajaan negeri Pakatan telah mewujudkan Sudut Pidato yang pertama dalam sejarah kebebasan bersuara di Malaysia sebagai dalam usaha mewujudkan suasana untuk kebebasan berucap dan kebebasan selepas bersuara.

Mohon kongsikan bacaan ini untuk bacaan semua. Terima kasih
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments
0 Comments

0 comments: