Followers

Mat Sabu: Perubahan pemerintahan bukan matlamat akhir perjuangan rakyat

Friday, February 10, 2012

"Saya akui, perubahan pemerintahan itu bukan matlamat akhir perjuangan rakyat.  Dia mesti menegakkan justice dan keadilan.  Sebab itu saya cukup suka apabila melihat munculnya kumpulan ABU ini," kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, sebelum menambah, bahawa beliau melihat ABU "...boleh menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional, mereka juga mampu menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat kalau menyeleweng nanti."

Demikianlah penilaian Mohamad Sabu terhadap ABU, singkatan kepada "Asal Bukan UMNO" - satu kempen untuk menolak UMNO-Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum akan datang.  Seperti biasa, pemidato terkenal ini tidak lupa mencuit rakan seperjuangannya dalam Pakatan Rakyat, mendakwa bahawa orang yang berkuasa menunjukkan kecenderungan yang hampir sama, lantas memerlukan pengawasan yang rapi.

"Amar makruf nahi mungkar, sebut senang nak laksana payah!" sindirnya dengan nada berjenaka, mencungkil gelak ketawa kira-kira 150 orang hadirin di bawah pentas, dalam "Forum Kiri: Kebangkitan Dunia Arab: Apa telah terjadi selepas satu tahun?", anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.

Beliau yang lebih dikenali dengan Mat Sabu, sempat berkongsi pengamatannya terhadap pergolakan politik yang berlaku di Timur Tengah, selepas genap satu tahun beberapa regim digulingkan.  Malah, Mat Sabu sempat mengaitkan beberapa fenomena yang berlaku di Timur Tengah, dengan apa yang berlaku di tanahair kita sekarang.

Sebelum ini, Penyelaras Antarabangsa PSM Choo Chon Kai (gambar kiri) selaku panelis, menekankan bahawa perjuangan tidak seharusnya dibubuh noktah apabila satu regim digulingkan dan digantikan dengan kerajaan yang baru, kerana perubahan struktur yang menyeluruh tidak semestinya berlaku.

Choo Chon Kai antara tahanan EO (di bawah Ordinan Darurat) ketika kerajaan Barisan Nasional cuba mematahkan perhimpunan BERSIH 2.0.  Menurut Choo, revolusi yang berlaku di Timur Tengah setahun yang lalu masih belum selesai, memandangkan sistem yang lama masih wujud, dan isu-isu seperti kemiskinan, pengangguran, kenaikan harga dan sebagainya, masih belum diselesaikan.

Kalau tak dapat semua, jangan tinggal semua

Seorang lagi panelis, Hishamuddin Rais mengambil sikap yang lebih sinikal terhadap kebangkitan rakyat yang disifatkan "Arab Spring" oleh media Barat.  Beliau cuba mengetengahkan kontradiksi utama di sebalik manifestasi di mana demonstrasi raksasa berlaku, mengaitkan kepentingan Amerika Syarikat dalam pergolakan ini.  Malah, untuk beliau, pertukaran kerajaan hanya pertukaran sekumpulan pelawak yang baru untuk berkuasa, tanpa perubahan dari segi struktur.

Mat Sabu (gambar kanan) bersetuju dengan sebahagian pengamatan itu, bahawa ada kalanya kebangkitan rakyat itu di-hijack oleh sesetengah pihak.  Malah beliau sempat bergurau dengan merujuk apa yang berlaku di Malaysia, di mana secara tiba-tiba bekas menteri datang dan mengakui dirinya pun ABU, malah mengutuk UMNO lebih kuat daripada pembangkang.

Bagaimanapun, beliau cuba melihat ciri-ciri positif daripada apa yang berlaku di Timur Tengah setahun yang lalu, satu perjuangan untuk mendaulatkan keadilan, dan sekurang-kurangnya rakyat negara berkenaan telah keluar dari alam diktator yang teruk selama 50 tahun sebelum ini.

"Memanglah kita ada satu idealistik yang kita perlu capai, tetapi dalam konteks perjuangan, kalau kita tidak dapat semua, jangan kita tinggal semua," kata Mat Sabu.

Projek Alaf Baru untuk Amerika Syarikat

Berucap sebelum Mat Sabu, Hishamuddin Rais menyeru agar hadirin tidak terpengaruh dengan manifestasi tanpa meneliti kontradiksi sebenar yang berlaku di Timur Tengah.  Sambil mendakwa bahawa demonstrasi raksasa di Dataran Tahrir itu hanyalah manifestasi yang dicetuskan kontradiksi yang lebih utama, Hishamuddin Rais memperkenalkan "Projek Alaf Baru untuk Amerika Syarikat" (Project For The New American Century) kepada hadirin.  Menurutnya, projek ini difikirkan otak-otak yang cerdik-pandai, graduan dari Universiti Havard dan Universiti Yale tetapi berhaluan kanan.

Beliau mengimbas sejarah, perjanjian pada tahun 1923 antara Amerika Syarikat dengan Arab Saudi, di mana Amerika berjanji mempertahankan Arab Saudi dengan syarat minyak akan dijual-beli dengan menggunakan dollar Amerika.  Lantas Amerika Syarikat terselamat dengan hanya mencetak wang dollar Amerika.  Ia menjelaskan juga mengapa media seperti Washington Journal, New York Times berdiam diri, apabila pencabulan hak asasi berlaku secara berleluasa di Arab Saudi?

"Tidakkah anda rasa itu sesuatu yang pelik?" tanya Hishamuddin Rais, merujuk kepada bagaimana kuasa Barat yang sering lantang dalam isu pencabulan hak asasi apabila berlaku di Dunia Ketiga.  Malah, Hishamuddin Rais menyatakan bahawa pernah wujud gerakan sayap kiri yang progresif di negara-negara Timur Tengah ini, namun digagalkan oleh Amerika Syarikat.  Beliau menambah, bukan lagi rahsia di mana wujudnya hubungan yang intim antara badan perisikan Amerika Syarikat, CIA dengan Ikhwan Muslimin, badan yang memperjuangkan gerakan Islam.

Untuk Hishamuddin Rais (gambar kanan), apa yang berlaku setahun yang lalu di Libya, Mesir, Tunisia dan sebagainya, adalah "pembocoran" yang terpaksa dilakukan, ketika kuasa Amerika berdepan dengan ombak kuasa rakyat, untuk menangguhkan revolusi agar perubahan struktur secara total dapat dielakkan.  Dalam perhitungan Amerika Syarikat, musuhnya bukan Syria, Libya, Tunisia dan sebagainya, tetapi China.  Kewujudan projek Alaf Baru untuk AS itu adalah untuk memastikan kuasa Amerika tidak dicabar mana-mana bala tentera di dunia ini.

Hishamuddin Rais berkata, perjuangan ini belum berakhir dan masih berjalan, kerana kontradiksi utama masih kekal.  Sebagai penyelesaiannya, satu sistem ekonomi di mana manusia tidak dijadikan hamba, lebih demokrasi dan terbuka, di mana manusia saling menghormati sesama manusia perlu diwujudkan, katanya. -MerdekaReview

Mohon kongsikan bacaan ini untuk bacaan semua. Terima kasih
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments
0 Comments

0 comments: