Followers

Anak muda, politik dan demokrasi

Wednesday, February 29, 2012

Laporan statistik dari Sarawak baru-baru ini mengenai kadar celik politik di kalangan belia memaparkan tahap yang amat rendah. Dalam bahasa lebih mudah, kadar buta politik belia Sarawak sangat tinggi. Dengan bahasa lebih senang lagi, budak-budak muda di Sarawak tidak peduli tentang politik.

Mungkin ada segelintir politikus khususnya di Sarawak akan tersenyum gembira mendengar berita ini. Faham-faham sahajalah.

Statistik dan hasil kajian yang dihadapkan kepada kita ini seperti sudah menjadi sarapan di waktu pagi. Ianya rutin dengan menu yang sama walau pun mood politik negara telah berubah menjadi semakin hangat dari biasa semenjak pasca 2008.

Laporan tersebut memetik satu hasil kajian (tinjauan) yang telah meletakkan punca masalah ini adalah dari sikap individualistik anak-anak muda.

Kajian ini harus juga ‘dikaji’ semula. Ini kerana kita tidak fikir pada mana-mana kajian sekali pun, hasilnya hanya ada satu punca masalah, apatah lagi tajuk kajiannya berkaitan ‘politik’.

Bukan niat untuk mempertikaikan mana-mana kajian yang dianggap tidak bersesuaian dengan kehendak kita. Namun, realiti harus menjadi asas kajian kerana ia tidak boleh wujud dalam satu ruang yang hampa.

Secara latar belakangnya, kajian seperti itu harus mengambil kira kesan politik Sarawak, khususnya pilihan raya negeri Sarawak pada April 2011 di mana pembangkang meraih lebih 45 peratus undi walau pun hanya menang 15 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri. Malah, walau pun 15 kerusi, ia adalah rekod terbaik dalam sejarah kerana mencatatkan kemenangan dua kali ganda bagi pembangkang.

Jika sistem pilihan raya Malaysia bernisbahkan jumlah undi, sudah pasti kerusi sebenar yang dimenangi pembangkang, khususnya Pakatan Rakyat, adalah sekurang-kurangnya 31 daripada 71 kerusi, iaitu 300,288 undi atau 45 peratus daripada keseluruhan undi.

Kajian mesti menyeluruh

Jadi kajian mestilah menyeluruh, segala aspek harus diteliti, semua faktor mestilah diuji, dan pastinya hasil kajian juga akan menyimpul banyak faktor, tidaklah hanya menyalahkan satu pihak sahaja. Kecualilah jika kajian ini memang hanya mahu mencari salah anak muda dalam aspek politik.

Kita tidak pasti bagaimana kajian ini dibuat, namun ia tetap memberi banyak implikasi. Tetapi jika kajian ini sekadar mahu mencipta berita dan propaganda, maka sampai ke tahap itu sajalah hasilnya. Ia dilihat tidak mampu dijadikan sandaran utama untuk kita mencari penyelesaian yang konkrit – kerana hasilnya tidak konkrit.

Hasil kajian ini juga seperti sudah menjadi satu budaya resmi apabila ia telah memberi justifikasi kepada daulah kuasa (institusi/politikus) untuk terus menyalahkan rakyat apabila berhadapan dengan perkara penting yang melibatkan isu hak dan kepentingan awam. Dalam kes ini, rakyat itu adalah golongan anak muda.

Golongan ini sudah selalu sangat menjadi kambing hitam dalam banyak kes. Kes moral, buang anak, mat rempit, agama, pendidikan, ekonomi, pekerjaan, termasuk isu daftar pengundi ini.

Ia (kajian) menjadi bahan untuk daulah kuasa melepaskan beban kesilapan mereka ke pundak kita, seolah-olah kita ini lembam.

Dalam satu keadaan yang lain, jika ada anak muda atau mana-mana pihak yang mencapai kejayaan dalam apa jua bidang, pandai pula daulah kuasa ini mengambil kesempatan mengakui kejayaan.

Contohnya ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengungkit kejayaan jutawan kaum Cina di Malaysia dengan dasar-dasar UMNO-BN (daulah kuasa) sewaktu ucaptamanya di seminar Malaysian Chinese at the Political Crossroads di ibu kota baru-baru ini.

Metodologi dan skop kajian

Seharusnya kajian ini perlu lebih komprehensif sifatnya, perlu dikaji apakah ada kesan dari demografi penduduk (anak muda) luar bandar dan bandar. Bukankah kita sedia maklum bahawa negeri Sarawak ini cabaran besarnya adalah bentuk muka bumi.

Kajian ini juga perlu melihat dalam aspek kemudahan alat komunikasi atau sumber informasi diluar bandar/dalam bandar. Bagaimana pula dengan tahap sosio-ekonomi anak muda (bandar/luar bandar). Adakah semua ini boleh mempengaruhi tahap celik politik mereka.

Kaedah kajian juga perlu lengkap, jangan hanya anak muda sahaja sebagai respondennya. Mereka yang mempengaruhi hidup anak muda juga perlu disoal.

Jika ia menyeluruh, pasti bukan hanya sikap individualistik anak muda sahaja yang menjadi faktor kepada masalah ini, malah kita mungkin akan berjumpa dengan sikap pihak lain termasuk politikus yang juga individualistik.

Kita akan dapat melihat di mana culasnya pembangunan negeri Sarawak, dimana kelemahan pentadbiran kerajaan dalam membuka peluang pekerjaan kepada anak muda tempatan. Semua inilah hasil kajian, lengkap dan reliable.

Statistik dalam statistik

Keadaan ini mengundang satu lagi persoalan lain, iaitu menurut laporan Indeks Kebebasan Akhbar 2011/2012 yang direkodkan oleh Reporters Without Borders, Malaysia menduduki tangga ke-122 dalam ranking tahap kebebasan akhbar di dunia.

Walau pun kedudukan ini sedikit lebih baik daripada ranking bolasepak Malaysia di tangga ke-150 FIFA, ia masih buruk dan memalukan bagi sebuah negara yang kononnya bangga dengan model ekonomi, agama dan kestabilan politiknya.

Dalam bahasa lain, laporan kebebasan media tersebut menunjukkan bahawa tahap kebebasan akhbar, maklumat dan suara awam di Malaysia sedang dikongkong oleh daulah kuasa. Dengan bahasa longkang, kita dikongkong untuk menerbit, menyebar serta menerima berita dan maklumat.

Alasan rasmi daulah untuk menyekat dan mengawalnya hanya kerana tidak mahu ada maklumat yang palsu atau fitnah diterbitkan. Bagi kita ia sangat tidak releven kerana tanpa melaui proses penerbitan dan pembacaan, mana kita tahu maklumat itu palsu?

Sekali pun ia palsu atau fitnah, bukankah kita ada pihak berkuasa yang boleh menyiasatnya, malah kita telah ada undang-undang untuk menghukum pembawa berita palsu. Jadi mengapa perlu dikongkong lagi?

Yang pasti, alasan rasmi itu sudah menjadi kebiasaan pemerintahan diktator untuk mengunci minda rakyat, khususnya anak muda. Tetapi adakah Malaysia negara diktator?

Proses pembelajaran anak muda

Anak muda perlu akses yang cukup untuk membangunkan potensi diri mereka. Jika maklumat disekat, maka anak muda tiada keinginan untuk tahu, baik atau buruk pun informasi itu, ia tetap akan mendorong untuk anak muda berfikir – rasional dan kritis.

Informasi itu penting, inilah gaya hidup zaman internet, wi-fi, gadget dengan peluang-peluang kerjaya. Tanpa pakej ini, anak muda tidak akan peduli pada apa pun termasuk politik.

Apabila tiada kerja, perut akan merasa lapar. Naluri seorang manusia, apabila perut lapar dan kehendak dibatasi oleh sesuatu, mereka hanya akan fokus dengan ‘hidup untuk cari makan’. Mereka tidak ada masa nak peduli tentang politik atau daftar undi.

Dan disinilah peranan daulah kuasa untuk membuka lebih besar ruang dan peluang untuk anak muda melalui proses pembangunan intelek dan sahsiah diri.

Tetapi, biasanya dengan cara ini jugalah daulah kuasa (politikus) mendorong anak muda dan rakyat Malaysia amnya, untuk hanyut dalam perlumbaan mengisi perut dan aksesori hidup agar hagemoni kuasa mereka terus kekal.

Mereka memang mahu kita terus begitu dari menyebok, aktif dan bertanya tentang urusan politik yang akan menyukarkan politikus itu sendiri

Istilah ‘individualistik’ yang dikaitkan sebagai punca utama masalah ini jelas sangat simplistik dan oportunis sekali sifatnya

Mohon kongsikan bacaan ini untuk bacaan semua. Terima kasih
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments
0 Comments

0 comments: