Followers

1Care: Yang sakit bertambah sakit

Sunday, February 5, 2012

Kerajaan Persekutuan sedang berada di fasa terakhir untuk memperkenalkan satu sistem insurans kesihatan nasional bernama 1Care. Cantik namanya tetapi penuh kontroversi, tidak masuk akal dan tidak munasabah.

Di bawah skim ini Kerajaan Persekutuan akan mewajibkan setiap rakyat Malaysia yang bekerja untuk memberi 10 peratus daripada gaji mereka untuk disalurkan kepada skim insurans kesihatan ini. Pemotongan ini wajib dan rakyat tidak mempunyai pilihan kerana ia akan dipotong seperti KWSP, SOCSO dan sebagainya.

Alasan yang diberikan oleh kerajaan adalah dalam kertas konsep 1Care adalah, “Malaysia sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, peningkatan kos kesihatan, peningkatan jangkaan orang ramai terhadap mutu kesihatan, perubahan demografik penduduk dan corak penyakit mereka, kebergantungan kepada perkhidmatan yang disubsidi, dan perlindungan yang terhad untuk penyakit yang teruk.”

Tetapi yang jelas, terang dan nyata adalah fakta bahawa 1Care bukan penyelesaian terhadap semua permasalahan ini. Ia hanya memaksa orang membayar lebih daripada yang sedia ada, tetapi mendapat tawaran yang teruk dari sedia ada. Sebagai kesimpulan, ia adalah satu paksaan cukai yang zalim.

Sebelum dan selepas 1Care

Kumpulan pengamal perubatan, aktivis pengguna dan rakyat prihatin yang menubuhkan Pakatan Kesihatan Rakyat atau Citizens’ Healthcare Coalition telah mendedahkan kepincangan 1Care.

* Sebelum 1Care, pekhidmatan kesihatan disediakan oleh sektor awam dan juga swasta. Para pengguna mempunyai pilihan utama dan sekunder tentang perkhidmatan kesihatan mereka. Selepas 1Care, perkhidmatan kesihatan hanya akan disediakan oleh entiti tunggal 1Care. Pengguna tidak lagi mempunyai pilihan. Pemberi khidmat kesihatan utama akan disediakan dan khidmat kesihatan sekunder akan disediakan oleh ‘penjaga-pintu’.

* Sebelum 1Care, pembiayaan kesihatan datang daripada pelbagai sumber termasuk, subsidi kerajaan, wang pengguna itu sendiri dan syarikat insurans kesihatan yang selalunya dibayar oleh majikan sebgai salah satu faedah pada pekerja. Selepas 1Care, kerajaan akan mengambil 9.4 peratus pendapatan isi rumah.

* Sebelum 1Care, peningkatan kos khidmat kesihatan adalah selari dengan pertambahan penduduk, inflasi dan kos untuk teknologi baru. Selepas 1Care, kos kesihatan akan mendadak naik kerana kos pengurusan dan pentadbiran yang amat besar.

* Sebelum 1Care, anda bayar untuk apa yang anda guna. Selepas 1Care, anda terpaksa bayar walau pun tidak menggunakannya.

* Sebelum 1Care, pengguna berurusan dengan pemberi khidmat kesihatan secara terus dan langsung. Selepas 1Care, pengguna terpaksa menempuhi pelbagai lapisan pentadbiran dan birokrasi dan tidak lagi boleh berjumpa dengan doktor pakar secara terus.

* Sebelum 1Care, khidmat kesihatan adalah bertunjangkan keperluan pesakit dan menepati apa diperlukan oleh pesakit. Selepas 1Care, khidmat kesihatan dicatu dan ditetapkan oleh sebuah bajet tahunan yang ditentukan oleh si pemberi khidmat kesihatan utama.

Kesan 1Care kepada rakyat

Apa pula natijah dan kesannya kepada rakyat Malaysia? Yang pertama, 1Care tidak melitupi semua rawatan. Hanya sebuah senarai asas “apa yang boleh”. Apa-apa yang di luar senarai asas ini tidak akan ditanggung dan rakyatlah yang kena bayar sendiri.

Yang kedua, para pengguna akan hilang kuasa pilihan mereka. Anda tidak boleh memilih doktor anda sendiri. 1Care akan memilih doktor untuk anda. Pemilihan ini akan ditentukan oleh faktor-faktor geografi dan perjumlahan penduduk.

Kalau tak suka doktor tersebut dan nak jumpa doktor lain, bayarlah sendiri. Doktor yang dilantik untuk anda ini juga akan menentukan samada anda layak atau tidak untuk berjumpa dengan doktor pakar. (Inilah yang dimaksudkan dengan ‘penjaga-pintu’)

Tambahan atas kesemua kedangkalan tersebut, ialah para pengguna hanya boleh berjumpa dengan doktor yang dilantik untuk anda hanya enam kali setahun sahaja.

Selain itu, rakyat hanya akan diberi ubat-ubatan yang paling murah sepertimana yang tersenarai dalam Senarai Ubatan Asas WHO (World Health Organization). Ini adalah bertujuan untuk mengurangkan kos dan menambah keuntungan kerajaan.

Tambahan pula, doktor-doktor tidak boleh memberikan ubat tersebut kepada anda, doktor hanya boleh melakukan suntikan sahaja. Jika anda mahukan ubat, carilah sendiri di farmasi. Tak suka? Bayar sendiri.

Penjagaan kesihatan dijadikan bisnes oleh UMNO-BN

Harus diingat bahawa kos-kos 1Care ini tidak akan disalurkan 100 peratus kepada perkhidmatan kesihatan seperti sistem sedia ada.

Kos-kos pengurusan, birokrasi dan pentadbiran GLC yang akan menguruskan 1Care ini harus dibayar juga, dan kos pentadbiran ini dijangka adalah sebanyak RM7.5billion setahun atas anggaran bahawa jika sistem ini dilaksanakan, kerajaan akan mendapat jumlah keseluruhan RM45billion setahun.

Yang pasti di bawah 1Care ini juga adalah fakta bahawa yang miskin akan terus tertindas. Siapakah yang akan menjaga kebajikan dan kesihatan untuk warga miskin apabila khidmat kesihatan awam ditukar kepada sebuah perniagaan yang bertunjangkan keuntungan semata-mata? Bagaimana untuk orang yang tidak mampu berkerja? Orang yang bergaji RM600 sebulan boleh ke untuk diwajibkan membayar RM60 sebulan?

Rakyat Malaysia tidak kira latar belakang mahu pun pandangan politik mereka harus bangkit menentang skim ini.

Jelas sekali bahawa 1Care bukan sahaja tidak akan membantu kekurangan dalam sektor kesihatan negara, malah kosnya lagi terlampau tinggi. Tapi apa yang rakyat akan dapat lagi teruk daripada apa yang sedia ada, dan hanya menindas pengguna dan mereka yang tidak mampu.

Apa sudah jadi dengan Malaysia kita yang tercinta ini? Sepatutnya perkhidmatan kesihatan merupakan hak asasi warganegara dan boleh diakses kepada semua. Namun amat sedih dengan keadaan kini, di bawah kerajaan UMNO-BN, segalanya sanggup digadai atas nama keuntungan, dan segala benda mahu dijadikan bisnes.

Kini, negara kita telah jatuh lagi dengan menjadikan perkhidmatan kesihatan awam sebagai bisnes yang mengaut keuntungan seberapa banyak yang boleh atas harga nyawa dan kesihatan kita.

Mohon kongsikan bacaan ini untuk bacaan semua. Terima kasih
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments
1 Comments

1 comments:

Anonymous said...

Kerajaan yg ada sekarang tidak layak utk terus memerintah. Pemimpin yg hanya mementingkan keuntungan semata dan tidak membela rakyat malah makin ditindas. Hasil negara menjadi hak mereka dan kroni. Menidakkan hak rakyat yg sangat memerlukan.